expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 7 July 2012

Kelantan sedia pertahan gelaran Liga Super




KOTA BHARU - Kemenangan ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini sudah memadai buat The Red Warriors mempertahankan gelaran Liga Super.


Berdasarkan prestasi semasa, Kelantan dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan skuad Perak pada perlawanan tersebut ditambah pula dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.


Bagaimanapun, pengendalinya Bojan Hodak enggan mendabik dada dengan kelebihan tersebut, sebaliknya menganggap Perak merupakan lawan yang sukar ditewaskan.


"Kemenangan malam esok (hari ini) amat penting buat Kelantan. Jadi saya harap pemain dapat meneruskan rentak kemenangan seperti yang dipamerkan dalam 12 perlawanan sebelum ini.


"Saya jangka perlawanan ini cukup sengit untuk dihadapi oleh pasukan Kelantan, bagaimanapun kita telah bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan," katanya.


Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, beberapa pemain utamanya seperti Mohammad Ghaddar, Norshahrul Idlan Tahala, Indra Putra Mahayuddin, Nurul Azuan Roya serta Nwaneri Obinna dijangka dapat diturunkan pada pertemuan dengan Perak.


"Kecuali Chanturu sahaja yang masih belum dapat diturunkan akibat kecederaan. Dengan kembalinya pemain ini, ia akan memudahkan tugas saya untuk merencanakan kesebelasan utama terbaik bagi menghadapi pertemuan getir ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com