expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 7 July 2012

Satu kemenangan cukup untuk julang Kelantan




KUALA LUMPUR - Cuma tiga mata yang diperlukan Kelantan daripada baki tiga perlawanan termasuk di Kota Bharu, malam ini untuk memastikan gelaran Liga Super kekal dipertahankan bagi musim 2012.


Meraihnya dengan menentang Perak, wajar ditunaikan anak buah Bojan Hodak itu demi mengambil kesempatan pelawat yang masih terluka kerana dikejutkan PKNS 2-1 di Ipoh, Selasa lalu dan cuba bertahan daripada dipintas Selangor di tangga ketiga liga.


Ia turut akan menambah koleksi gelaran Kelantan musim ini selepas menjulang Piala FA dengan menewaskan Sime Darby 1-0, 19 Mei lalu selain selangkah lagi untuk mendapatkan treble 2012 Piala Malaysia yang bermula hujung bulan depan. 


Wira Merah juga ibarat memikul misi negara kerana pencabar terdekat dari Singapura, Lions XII pasti berputih mata dan tidak mampu mengejar lagi jika si peneraju liga menang dan meninggalkannya dengan kemungkinan enam mata lagi daripada baki dua perlawanan. 


Namun, seperti kata penjaga gol pasukan Kijang, Khairul Fahmi Che Mat, tiada apa yang mudah untuk dicapai dalam bola sepak walaupun ketika cuma memburu tiga mata sekali gus menuntut rakan sepasukannya, bekerja lebih keras untuk membenam Seladang.


"Sebenarnya ketika kita semakin dekat dengan sesuatu matlamat atau penyudahnya, keadaan pula akan menjadi tertekan dan bertambah genting atau sukar. Jadi mana-mana perlawanan selepas ini pun tidak boleh dipandang mudah, kena sentiasa kerja keras," katanya.


Mesejnya juga cukup jelas bahawa di sinilah ketahanan mental sepasukan bakal lebih tercabar dan teruji malah benarlah kata ramai pemerhati bola sepak - mempertahankan sesuatu memang lebih sukar daripada memburunya.


Selangor yang dikecewakan jaringan penyamaan minit akhir oleh Khyril Muhymeen Zambri dari Kedah, pula bakal tampil sebagai 'pelawat di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam' terhadap Kuala Lumpur namun ia bukan alasan untuk kehilangan tiga mata lagi, Selasa lalu.


Anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang kini cuma layak memburu tempat ketiga liga, tampak sering hilang tumpuan di barisan belakang malah kadar jaringan terkini mereka masih belum dapat dibanggakan khususnya oleh peminat setia Merah Kuning sejak membelasah T-Team 5-0, 19 Jun lalu.


Penyerang import Gergasi Merah, Bosko Balaban juga tidak wajar dibiarkan bersendirian dalam memburu gol walaupun bekas penyerang kebangsaan Croatia dan Aston Villa itu terbukti memiliki kemahiran individu tinggi dan sentiasa mengancam lawan khususnya dalam situasi bola mati.


Menentang Kuala Lumpur, pasukan tercorot liga yang belum menang daripada 23 perlawanan bagaimanapun tetap boleh diibaratkan 'Perang Lembah Klang' dan masih ada sentimen atau nostalgia tentangan yang akan cuba dipertahankan jurulatihnya, Razip Ismail.


Terengganu pula berdepan kata dua sama ada mahu menyerlah atau dipotong dana apabila cuma menang sekali daripada lima perlawanan sejak 19 Jun lalu walaupun sudah bertukar pengendali pasukan dari England, Peter James Butler.


Sekalipun Sabah yang dikunjunginya, masih bergelut untuk mengelak zon penyingkiran ke Liga Perdana 2013, Sang Penyu perlu berwaspada terutama dengan kemuncak prestasi Rozaimi Abd. Rahman yang menjaringkan 10 gol pada kelayakan Bawah 22 Tahun Piala Asia, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com