ALLAH Ar-Rahman wa Ar-Rahim Maha Pengampun dan sangat sukakan
hamba-Nya yang bertaubat nasuha dan memohon keampunan daripada-Nya.
Ertinya, Allah SWT boleh berkompromi dengan hamba-hamba-Nya
yang melakukan dosa seandainya mereka bertaubat.
Cuma satu dosa yang Allah tidak boleh berkompromi dan tidak
akan ada Ar-Rahman wa Ar-Rahim-Nya iaitu dosa syirik, dosa
menyekutukan-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya syirik itu adalah
kezaliman yang besar. (Luqman: 13)
Rasulullah SAW ditanya tentang dosa yang paling besar."
Baginda bersabda yang bermaksud: Kamu menjadikan sekutu bagi Allah, pada hal
Dia telah menciptakanmu."
Ada dua kategori syirik, iaitu syirik akbar (syirik
besar) yang boleh menyebabkan bukan sahaja pelakunya terkeluar daripada Islam
tetapi juga Allah tidak akan mengampuninya jika dipohon keampunan sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa
syirik, dan dia Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi
siapa yang dikehendaki-Nya. (an-Nisa': 48)
Sama ada syirik besar mahupun syirik kecil, adalah lebih baik
kita menghindarinya. Syirik besar, pelakunya adalah murtad di dunia dan kekal
dalam neraka di akhirat.
Syirik jenis ini juga membuatkan segala amal pelakunya
menjadi sia-sia dan tidak diterima-Nya. Taubat pelakunya juga tidak diterima
oleh Allah.
Manakala syirik kecil pula, pelakunya tidak murtad di dunia
dan tidak akan kekal di akhirat nanti, akan dinerakakan tetapi akan dibebaskan
selepas tempoh hukuman tamat.
Pelaku syirik kecil hanya membuat sia-sia amal perbuatan yang
bercampur olehnya sahaja dan akan diampuni jika bertaubat nasuha.
Apa pun adalah wajar syirik kecil dihindari daripada
dilakukan kerana ia boleh membawa kepada perlakuan syirik besar. Hayati saranan
Rasulullah SAW supaya dijauhi syirik melalui sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai manusia, jauhilah syirik, ia sesungguhnya dia lebih samar daripada
rayapan semut." Lalu ada yang bertanya bagaimana cara kita menghindarinya
sedangkan ia lebih samar daripada rayapan semut wahai Rasulullah? Baginda
menjawab: "Ucapkanlah, Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu
daripada mempersekutukan-Mu atas apa yang kami tidak ketahui." (riwayat
Imam Ahmad)
No comments:
Post a Comment