SELEPAS Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talin dan Abdullah
bin Abi Rawahah gugur syahid, bendera Islam kini menunggu kemunculan ketua baru
untuk menjulangnya sebagai tanda tentera Islam tetap bertahan dan sama sekali
tidak akan menyerah kalah pada pihak musuh.
Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyebut siapa pengganti
kepada ketiga-tiga ketua panglima tentera Islam yang telah gugur syahid itu.
Ini menyebabkan tentera Islam sedikit kucar-kacir kerana
tiada pemimpin mengambil alih bagi menerajui dan menentukan hala tuju
perjuangan mereka.
Namun seorang sahabat yang dahulunya pernah berjuang di
Perang Badar, Thabit bin Aqram terus bertindak mengambil bendera Islam lalu
dijulang bendera tersebut tinggi ke udara.
Melihatkan bendera Islam berkibar-kibar di udara, lalu
seluruh tentera Islam segera berkumpul pada bendera tersebut bagi menantikan
arahan daripada kepimpinan baru pasukan.
Tsabit sama sekali tidak bermaksud untuk mengambilalih
peranan ketua panglima tentera Islam, malah sambil mengibarkan bendera itu,
beliau melaung-laungkan suaranya: "Wahai sekalian, orang Islam! Lantiklah
seorang di kalangan kamu untuk menjadi ketua. Segeralah kamu lantik demi
mempertahankan maruah dan agama Allah ini!"
"Kamulah yang menjadi ketua kami, wahai Tsabit,"
seru seorang anggota tentera Islam.
"Aku tidak layak untuk mengepalai barisan tentera
ini," balas Tsabit.
Namun apabila melihat seorang sahabat (yang dahulunya adalah
musuh ketat Islam), Khalid bin Al-Walid adalah antara anggota tentera Islam
yang mula-mula sampai dan menghampirinya, Tsabit terus menyerahkan bendera
Islam itu kepada Khalid.
Alangkah terkejutnya Khalid dengan tindakan Tsabit itu.
"Wahai Tsabit, bukankah kamu lebih tua? Malah kamu
sebelum ini merupakan Ahli Badar (anggota tentera Badar), tentulah kamu yang
lebih layak untuk menjadi ketua berbanding aku," soal Khalid.
Lalu Tsabit pun menjawab: "Ambillah wahai Khalid akan
bendera ini. Aku tidak mengambil bendera ini melainkan untuk diserahkan kepada
kamu. Sekarang bukan masanya untuk bertolak-tolakan. Suasana kini semakin
genting dan memerlukan seorang pakar perang dan kamu adalah orangnya."
Disebabkan Khalid masih baru memeluk Islam dan bimbang ada
tentera Islam yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai ketua, lalu
Tsabit pun dengan lantangnya berkata; "Wahai saudara-saudaraku,
tetapkanlah di hati kamu bahawa Khalid bin Al-Walid adalah yang paling layak
memegang dan mempertahankan bendera Islam ini. Dialah yang paling tepat sebagai
panglima perang kita!"
Seketika itu juga seluruh tentera Islam serentak menyatakan
setuju dan sokongan mereka terhadap Khalid sebagai ketua baru mereka.
Mendengarkan harapan yang sungguh tinggi daripada Tsabit dan
sokongan tidak berbelah bahagi, Khalid menganggukkan kepalanya dan terus
mengibarkan bendera Islam.
Khalid bangkit bagaikan seekor singa. Beliau segera
'mengaum', memanggil semua anggota tentera Islam untuk berkumpul bagi
mendengarkan arahannya.
Khalid Al-Walid adalah seorang lagi pahlawan yang paling
hebat dalam sejarah Islam sehingga beliau digelar Saifullah al-Maslul (pedang
Allah yang terhunus atau pedang Allah) walaupun pada asalnya beliau seorang
yang sangat kuat memusuhi Islam.
Gelaran itu bertepatan dengan satu riwayat di mana dikatakan
sebanyak sembilan bilah pedang Khalid patah kerana kehebatan beliau bertempur
di medan Muktah.
Sebagai seorang yang pernah mengucar-ngacirkan pertahanan
tentera Islam yang hampir-hampir menang semasa Perang Uhud, Khalid memang pakar
strategik peperangan.
Bahkan, pada zaman jahiliahnya dahulu, Khalid terkenal
sebagai seorang ahli gusti yang sangat digeruni kawan dan lawan, tetapi kali
ini sebagai ketua panglima perang, beliau perlu mengaturkan satu strategi
perang yang baru untuk mengalahkan tentera bersekutu Byzantine atau Rom itu.
No comments:
Post a Comment