PENDUDUK Felda Tenang
memegang ular sawa sepanjang 6.5 meter yang ditembak mati di Labis semalam.
LABIS - Seorang penoreh getah di tanah rancangan Felda Tenang
di sini trauma selepas dia nyaris dibelit seekor ular sawa batik sepanjang 6.5
meter ketika bekerja di kebunnya semalam.
Narizan Ali, 41, memberitahu, kelibat reptilia gergasi itu
disedari kira-kira pukul 9.30 pagi ketika dia menoreh dari satu pokok ke satu
pokok di kebun getah berkeluasan 3.2 hektar itu.
"Bila saya beralih ke satu pohon lain, saya terkejut
ternampak seekor ular sawa batik yang hanya selangkah dari kedudukan saya.
"Saya panik dan terus lari sebelum haiwan itu sempat
menyerang. Pada masa itu saya hanya fikirkan mati," katanya ketika ditemui
selepas kejadian itu di rumahnya yang terletak hanya satu kilometer dari kebun
tersebut.
Narizan menceritakan, tanpa berlengah dia terus menggunakan
telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung.
Beberapa minit kemudian, lima lelaki termasuk seorang
rakannya yang juga anggota Rela tiba di tempat kejadian bersama selaras
senapang patah.
Namun, usaha mereka selama 30 minit untuk menangkap reptilia
gagal gara-gara tindak balas agresif ular berkenaan yang cuba menyerang mereka.
"Ular itu sangat agresif, melawan seperti nak menelan
kami. Demi keselamatan, kami ambil keputusan membunuhnya dengan rakan saya
melepaskan dua das tembakan," jelas Narizan.
Namun, ular itu tidak mati, sebaliknya ia sempat melarikan
diri ke dalam belukar.
Penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan memburu ular
sawa berkenaan sebelum berjaya menarik reptilia yang cedera itu kira-kira sejam
kemudian.
No comments:
Post a Comment