Tengku Sri Paduka Raja, Tengku
Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah
KUALA
TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak sepatutnya mengeluarkan
ugutan untuk mengurangkan bajet pasukan Terengganu dan T-Team sekiranya tidak
menunjukkan prestasi yang baik.
Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tindakan Ahmad tidak tepat kerana beliau seharusnya mengenal pasti punca kemerosotan dan bukannya menyekat peruntukan yang akan memberi kesan kepada tugas seharian.
“Saya berpendapat cara ugutan mengurangkan bajet kedua-dua pasukan ini tidak tepat, seharusnya punca kenapa pasukan ini merosot yang perlu dikenal pasti. Saya tahu kemerosotan disebabkan ramai pemain kita cedera dan mengambil masa untuk sembuh,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut mengakui prestasi kedua-dua pasukan dari Terengganu itu menurun sejak belakangan ini, namun ia berlaku disebabkan beberapa pemain tonggak utama yang mengalami kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan.
Setakat ini katanya, pasukan Terengganu berada di tangga kelima daripada 14 pasukan dalam Liga Super manakala T-Team berada di tangga kelapan.
“Saya yakin Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Che Mat Jusoh lebih peka dengan keadaan tersebut dan bekerja keras untuk membaiki prestasi anak buahnya,” katanya semalam.
Kata beliau, wang adalah sumber utama bagi memulihkan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) bagi menjalankan tugas seharian dengan berkesan dan sumber kewangan dari Kerajaan Negeri tidak boleh digunakan sebagai bahan ugutan.
Kata Tengku Ibrahim, tindakan itu akan lebih merosakkan prestasi pemain untuk meneruskan cabaran dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
“Ada jalan lain untuk kita tegur kedua-dua pasukan ini secara berkesan, iaitu dengan terlebih dahulu mencari sebab prestasi bola sepak kedua-dua pasukan ini menurun.
“Seperti seorang doktor, sebelum memberi ubat kepada pesakit, hendaklah terlebih dahulu membuat pemeriksaan ke atas pesakit tersebut,” katanya.
Oleh itu katanya, beliau menyeru kepada peminat bola sepak Terengganu supaya mengkaji prestasi menurun pasukan dan bukannya dengan membuat kenyataan melulu yang akan menyentuh perasaan pemain sebelum ini bermain begitu gigih dan bersungguh-sungguh.
Pihak persatuan pula katanya, perlu bekerja lebih keras lagi untuk menaikkan taraf bola sepak Terengganu pada masa hadapan.
Akhbar ini semalam menyiarkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang memberi kata dua kepada pasukan bola sepak Terengganu, kembali bangkit dan tunjukkan prestasi yang baik atau Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menyekat peruntukan tambahan kepada mereka.
Beliau turut memberi amaran sama kepada pasukan berstatus kelab, T-Team agar kembali bangkit dan berada di landasan yang betul.
Ahmad yang juga peminat nombor satu pasukan Terengganu berkata, amat kecewa dengan corak permainan pasukan itu dan meminta pihak pengurusan serta pemain membuat sesuatu untuk kembali membaiki prestasi.
No comments:
Post a Comment