Pages

Monday, 16 July 2012

Bahaya Korek telinga

HANYA pakar yang mampu membuang tahi telinga dengan selamat.



AMALAN mengorek telinga sama ada disebabkan tersumbat atau kotor sudah dianggap biasa. Selalunya putik kapas akan digunakan tetapi dalam keadaan yang lebih ekstrem, pin rambut dan pencungkil gigi turut dijadikan alat untuk mengorek keluar tahi telinga.


Malangnya, putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak membersihkan telinga bahkan berupaya menyebabkan gangguan pendengaran.


Pensyarah Kanan dan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad menjelaskan, saluran telinga mempunyai struktur menyerupai rerambut halus di bahagian yang menghala ke luar dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.




 
"Lilin telinga, yang ramai antara kita mengenalinya sebagai tahi telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga.


"Majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci tetapi tanggapan itu salah," katanya.





 
Korek telinga 


Tutur Irfan, lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia dan amaunnya amatlah sedikit.


"Tindakan mengorek telinga hanya menyebabkan proses pencucian lilin telinga terganggu.


"Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga sebenarnya telah diprogramkan untuk 'menyapu keluar' lilin telinga ini," ujarnya.


Dalam keadaan biasa, kita akan terasa seperti ada debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga.


Ia ialah lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh 'petugas' yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita.


"Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam.


"Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami apa yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif," terang Irfan.




 
Tersumbat


Irfan memberitahu, ada kes yang melucukan seperti hujung putik kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan tertinggal di dalam lubang telinga.


"Pengeluaran kapas berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik manakala putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forsep," jelasnya.


Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam, ia semakin menghampiri gegendang telinga.


Gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal.


Hasilnya, seseorang mengalami masalah pendengaran.


"Kaedah rawatan konvensional yang digunakan ialah dengan memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari. Ini boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja.


"Lilin telinga akan menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan terkeluar mengikut arus air tersebut," katanya.


Bagi sesetengah kes pula, ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan selepas itu barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.


"Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sediakala.


"Cuma pesakit tidak lagi menggunakan putik kapas pada masa akan datang," beritahu Irfan.



No comments:

Post a Comment