LIMA pulau gunung berapi dan tiga kawasan berbatu yang
membentuk Kepulauan Senkaku menjadi subjek rebutan tiga negara iaitu China,
Jepun dan Taiwan. Kawasan tidak berpenghuni berkeluasan tujuh kilometer (km)
persegi itu terletak di timur laut Taiwan, timur China dan barat daya Jepun.
Rundingan San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951
menyaksikan Kepulauan Nansei Shoto yang sebelum itu dipegang oleh Amerika
Syarikat (AS) dipulangkan semula kepada Jepun pada tahun 1971.
Pengurusan Kepulauan Senkaku yang terletak di timur laut
China itu pula diserahkan kepada Jepun pada 14 Februari 1985 yang kemudiannya
dijadikan sebahagian daripada Kepulauan Nansei Shoto atau Ryukyu yang kini
dikenali sebagai wilayah Okinawa.
Tiada bantahan disuarakan China dan Taiwan ketika itu
sehinggalah penemuan sumber minyak dan gas asli disahkan di kepulauan
berkenaan.
Difahamkan sumber minyak di Senkaku boleh mencecah 100 bilion
tong. Hasil bumi tersebut dianggarkan bernilai AS$6 trilion (RM19 trilion) dan
dikatakan melebihi daripada keluaran negara kasar (KNK) tahunan AS. Sebagai
tambahan, sebanyak 200 bilion meter kubik gas asli juga bersemadi di kawasan
sekitar.
China menyatakan pulau Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu
oleh mereka adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba lagi. Ia menjadi
lokasi sumber hasil laut yang penting ketika Taiwan masih berada di bawah
pemerintahan China.
Pada tahun 1996, Jepun mendirikan rumah api di salah sebuah
pulau di kepulauan tersebut. Sekumpulan aktivis China kemudiannya belayar
beberapa kali di kepulauan itu dan dalam satu insiden, seorang aktivis Hong
Kong, David Chan terjun ke dalam laut dan mati lemas.
Selepas itu, cubaan aktivis-aktivis China dan Taiwan untuk
memasuki kawasan kepulauan itu berkurang. Pada tahun 2004, Jepun menahan tujuh
aktivis China yang mendarat di kepulauan itu.
Terdapat juga ketegangan melibatkan bot-bot peronda China dan
kapal-kapal nelayan Taiwan. Pada tahun 2005 pula, 50 bot nelayan Taiwan
mengadakan protes berhampiran kepulauan itu kerana sering dihalau dan diganggu
peronda laut Jepun.
Sorotan pertikaian Senkaku terus meruncing dan yang terbaharu
apabila tiga bot peronda China memasuki perairan kepulauan berkenaan. Hal
tersebut tidak disenangi Jepun yang meminta wakil China tampil membuat
kenyataan.
PULAU Dokdo kini terletak di bawah pengawasan polis Korea Selatan meskipun Jepun masih menuntut hak ke atas pulau ini.
"Sudah jelas bahawa pulau Senkaku terletak dalam wilayah
Jepun dengan mengambil kira pandangan sejarah dan dari segi undang-undang
antarabangsa. Pulau itu di bawah kawalan efektif sepenuhnya oleh kami."
ujar Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura.
Namun, China tetap berkeras untuk mendapatkan kedaulatan
Senkaku, malah dikhabarkan memperkuatkan ketenteraan mereka di sekitar perairan
tersebut.
Spratly rebutan enam negara
Perebutan Kepulauan Senkaku hakikatnya telah membawa kita
untuk melihat dengan meluas mengenai perebutan banyak lagi pulau-pulau lain di
Asia Timur.
Hanya beberapa kes berjaya menemui titik penghujung sebagai
contoh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 menetapkan
kedaulatan Pulau Batu Putih diberikan kepada Singapura berbanding Malaysia.
Selebihnya, persengketaan lain terus panas dan belum
berpenghujung.
Sebagai contoh Kepulauan Takeshima atau Dokdo sehingga kini
menjadi pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.
Tuntutan yang dilakukan Jepun pada tahun 1905 itu sejajar
dengan rampasan Semenanjung Korea ketika itu. Bagaimanapun Korea Selatan
mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka selepas
mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.
BOT peronda China yang
memasuki perairan Senkaku baru-baru ini mencetuskan kemarahan Jepun.
Selain itu, Kepulauan Spratly yang dituntut China, Malaysia,
Filipina, Taiwan, Vietnam dan Brunei mungkin merupakan perebutan paling epik
dalam sejarah.
Kepulauan yang terdiri daripada 190 pulau kecil di kawasan
berkeluasan kira-kira lima km persegi di Laut China Selatan itu dikhabarkan
mempunyai sumber minyak dan gas yang amat menguntungkan.
China menuntut keseluruhan kawasan kepulauan yang didakwa
adalah milik mereka sejak tahun 200 Sebelum Masihi. Negara-negara lain pula
hanya mahukan beberapa bahagian pulau tersebut.
Krisis pergelutan keenam-enam negara itu terjadi selepas
Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua.
Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan
itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia pada lewat tahun 1970-an.
Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila
bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu
dipanjangkan sehingga tahun 2002.
Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani
persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas
beberapa tahun, konflik kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut.
Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi
minyak di kawasan persekitaran.
Perkembangan terbaharu menyaksikan anggota negara Asia mahu
konvensyen maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi asas
penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, China dikhabarkan tidak berminat untuk merujuk
kepada PBB.
Yeonpyeong dan Kuril
Permusuhan Korea Utara dan Korea Selatan bukan lagi asing.
Konfrontasi dua negara itu memuncak apabila melibatkan perebutan Pulau
Yeonpyeong. Pulau yang terletak di Garisan Terbatas Utara (NLL) Laut Kuning
itu, kini bertindak sebagai sempadan maritim dua buah negara tersebut.
Korea Utara bagaimanapun menolak NLL yang direka PBB kerana
ia dianggap berat sebelah.
Ia menyebabkan Korea Utara melakukan serangan ke atas Korea
Selatan pada tahun 2010.
KEPULAUAN Spratly menjadi rebutan enam negara dan masih belum bertemu penyelesaian.
Sementara itu, Kepulauan Kuril yang telah disahkan sebagai
hak milik Rusia kembali dituntut Jepun. Pulau Etofuru, Kunashiri, Shikotan dan
Habomai yang membentuk Kuril dipunyai oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1945.
Berdasarkan tuntutan Soviet, kesemua pulau perlu diserahkan
kepada mereka menerusi Perjanjian Pasca Perang Dunia Kedua Yalta dan Potsdam
dan kerajaan Rusia telah pun menetapkan polisi tersebut.
Jepun kekal dengan pendirian mereka yang mengatakan bahagian
utara kepulauan itu ialah sebahagian integral negara mereka yang diambil secara
haram oleh Kesatuan Soviet.
Mengulas lanjut mengenai perebutan pulau-pulau di Asia Timur
itu, Profesor Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohamad Agus Yusoff
menyatakan, ia didorong oleh faktor-faktor seperti maruah, sejarah, geografi,
keselamatan, pertahanan dan sumber alam.
Jelas beliau setiap negara yang menuntut sesebuah pulau mahu
menang demi meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.
"Dalam kes Senkaku, kedudukan strategik di Laut China
Timur menjadikannya lokasi terbaik untuk pembentukan pusat maritim. Selain itu
ia juga berpotensi tinggi untuk pelancongan dan ekonomi menerusi hasil minyak
serta gas asli.
"Sebagai contoh sekiranya China atau Jepun memenangi tuntutan
dan kemudiannya mendirikan markas ketenteraan laut di kepulauan itu, Taiwan
pasti bimbang dengan keselamatan negara mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment