GAMBAR yang disiarkan Agensi Berita
Syria Arab kelmarin menunjukkan tentera Syria melancarkan dua peluru berpandu
dalam satu latihan ketenteraan di sebuah lokasi rahsia.
DAMSYIK -
Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares merupakan pegawai berprofil tinggi kedua yang
belot kepada pihak pemberontak semalam.
Ia sekali
gus memberikan sokongan moral kepada pemberontak yang kini berjuang untuk
menjatuhkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Nawaf yang
merupakan seorang pengikut Sunah dan anggota Parti Baath yang memerintah pernah
memegang beberapa jawatan utama di bawah pemerintahan bapa Bashar, Hafez
Al-Assad sebelum dilantik sebagai Duta ke Iraq pada tahun 2008.
Beliau
berasal dari Deir Al-Zour, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Iraq di timur
Syria.
Wilayah
berkenaan menjadi lokasi pertempuran sengit antara tentera pemerintah dan para
pemberontak sejak rakyat Syria bangkit menjatuhkan rejim Bashar 16 bulan lalu.
Sebelum ini,
seorang pegawai tinggi Pengawal Republikan, Brigedier Jeneral Manaf Tlass yang
merupakan rakan peribadi Bashar belot dan melarikan diri melalui Turki pada
minggu lalu.
Dalam
perkembangan berkaitan, tentera rejim Bashar membedil kampung Treimsa di
wilayah Hama, tengah Syria semalam, kata beberapa pemerhati dan aktivis
manakala lapan orang terbunuh di seluruh negara berkenaan.
"Tentera
rejim membedil kampung Treimsa di Hama dengan menggunakan sejumlah kereta kebal
dan helikopter," kata badan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia.
Menurutnya,
sekurang-kurangnya seorang maut dan sejumlah lagi cedera dalam serangan
tersebut dengan sebahagian daripada mereka parah.
"Sebuah
sekolah di kampung itu musnah sama sekali akibat bedilan meriam," kata
seorang aktivis di Hama yang menamakan dirinya sebagai Abu Ghazi kepada agensi
berita AFP menerusi panggilan internet, Skype.
"Bedilan
bermula pada pukul 6 pagi waktu Syria dengan kekuatan besar-besaran dihantar ke
sekitar kampung ini. Kini, keseluruhan Treimsa dikepung," tambah aktivis
berkenaan.
Badan
pemerhati itu mengesahkan lapan kematian dengan lima orang awam dan tiga
pemberontak berlaku di seluruh Syria termasuk seorang penduduk awam yang maut
di Treimsa.
Kelmarin,
seramai 85 orang terkorban termasuk 37 orang awam, 34 askar dan 14 pemberontak
bersenjata.
"Antara
anggota tentera yang maut termasuk enam askar yang dibunuh di wilayah Damsyik
apabila mereka cuba belot," kata badan itu.
Menurut
perangkaan badan pemerhati tersebut, lebih 17,000 orang terbunuh sejak
kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bermula pada pertengahan Mac lalu.
Perkembangan
itu berlaku selepas tentera pemerintah di Syria didakwa menjadikan wanita
sebagai sasaran rogol dan serangan ketika pertempuran di negara itu terus
memuncak.
Pertubuhan
hak asasi manusia, Women Under Siege menyatakan pihaknya merekodkan 81 insiden
serangan seks di Syria sejak demonstrasi antipemerintah bermula pada Mac 2011
dengan kebanyakan kes berlaku di bandar Homs.
Bandar
berkenaan merupakan kubu kuat pemberontak dan berulang kali menjadi sasaran
serangan tentera pemerintah.
Pengarah pertubuhan
itu, Lauren Wolfe berkata, jelas berdasarkan sebilangan laporan oleh beberapa
kumpulan hak asasi manusia, kenyataan saksi dan media bahawa perbuatan
menyerang dan memperkosa wanita secara bergilir-gilir dilakukan sebagai taktik
perang.
Dalam pada
itu di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, wakil
Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat sepakat menyerahkan satu teks
draf yang memberikan masa 10 hari kepada Bashar untuk melaksanakan pelan
gencatan senjata anjuran PBB/Liga Arab atau berdepan ancaman sekatan ketat yang
baharu. - Agensi
No comments:
Post a Comment