SEBELUM tercetusnya pergolakan politik bersenjata di Afrika
Barat terutamanya di Timbuktu, Mali, tidak banyak maklumat diketahui ramai
mengenai bandar tandus dan gersang itu apatah lagi membongkar keistimewaan kota
purbanya.
Paling hampir, dunia mungkin hanya mengetahui akan kewujudan
sebuah masjid purba yang menjadi lambang budaya dan sejarah kota tersebut iaitu
Masjid Djinguereber.
Hakikatnya, kota yang telah menguatkuasakan undang-undang
syariah sejak sekian lama itu pernah melalui zaman kegemilangan Islam dengan
terbinanya pusat-pusat peradaban Islam yang sehingga kini kukuh berdiri.
Masjid Djinguereber sebenarnya dibangunkan pada zaman
keemasan Timbuktu. Ia menjadi sebuah seni bina unik kerana menjadikan lumpur sebagai
bahan asasnya.
Ia dibina oleh Sultan Kankan Moussa selepas kepulangannya
daripada membawa rombongan menunaikan haji di Mekah pada tahun 1325. Di antara
tahun 1570 hingga 1583, kadi Timbuktu, Imam Al Aqib telah mengubah suai dan
membesarkan masjid tersebut yang kini mempunyai tiga ruang dalaman yang luas.
Sebagaimana Masjid Djinguereber, Masjid Sankore juga telah
dipulihara oleh Al Aqib pada tahun 1578 hingga 1582. Dia merobohkan santuari
sedia ada dan dibina semula mengikut saiz Kaabah di Mekah. Kiraan saiz itu
diambilnya dengan menggunakan tali ketika menunaikan haji.
Sementara itu, Masjid Sidi Yahia pula dibina sekitar tahun
1400 dan turut dipulihara oleh Al Aqib pada tahun 1577 hingga 1578. Ia kini
disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia yang menempatkan 16 tapak perkuburan dan
makam.
Sekitar abad ke-12 dahulu, tersimpan puluhan ribu naskhah,
tulisan dan manuskrip pelbagai ilmu pengetahuan di Timbuktu. Sehingga kini,
naskhah-naskhah kuno itu masih disimpan secara warisan oleh penduduk setempat.
Namun, akibat daripada konflik bersenjata yang mencengkam
Mali ekoran kejadian rampasan kuasa yang berlaku sejak awal tahun ini, khazanah
budaya di bandar kuno Timbuktu dikhuatiri akan dimusnahkan. Menyedari ancaman
tersebut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan amaran.
Ketua Pengarah Pendidikan Organisasi Saintifik dan Kebudayaan
(UNESCO) yang berpangkalan di Paris, Irina Bokova melalui blognya berkata,
pengambilalihan oleh pemberontak Tuareg pada bulan Mac lalu boleh merosakkan
pengurusan dan pemuliharaan tiga buah masjid serta 16 makamnya.
BEBERAPA pekerja sedang berehat
sebelum menyambung kerja-kerja restorasi di Masjid Sakore.
Lindungi khazanah
Justeru, beliau menyeru semua pihak dalam pergolakan politik
di Mali agar melindungi khazanah warisan tersebut yang dianggap penting bagi
masyarakat antarabangsa dan UNESCO, sambil menambah bahawa ia status Tapak
Warisan Dunia perlu dijaga bersama.
"Tarikan Timbuktu mencerminkan zaman kegemilangan modal
intelek dan rohani pada abad ke-15. Kota itu memainkan peranan penting dalam
menyebarkan agama Islam di Afrika selain membawa identiti dan maruah seluruh
rakyat," ujar Bokova.
Kawalan negara yang kaya dengan emas di Afrika Barat telah
dirampas oleh junta tentera pada bulan Mac lalu. Perkembangan itu mendorong
pemberontak pemisah Tuareg di utara negara itu untuk mengambil alih bandar
berkenaan.
"Keadaan sangat tegang ketika ini. Melihat kepada
keadaan terkini, ia bukan lagi tempat untuk pelancongan," kata pakar
mengenai Afrika, Alex Vines, yang berkhidmat untuk Chatham House iaitu firma
yang memantau hal ehwal antarabangsa di Britain.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang kapten tentera yang
mengetuai rampasan kuasa itu, Amadou Sanogo, dilaporkan telah berjanji untuk
menghidupkan semula perlembagaan dan semua institusi negeri sebelum memindahkan
kembali kuasa kepada orang awam melalui pilihan raya.
Halang campur tangan
Rampasan kuasa pada bulan Mac lalu di Mali memudahkan
pemberontak pemisah Tuareg untuk menguasai utara Timbuktu yang mereka dakwa sebagai
tanah air mereka.
PENDUDUK setempat membantah
pengambilalihan kawasan utara Mali oleh tentera pelampau Islam.
Bagaimanapun, sebuah kumpulan yang tidak dikenali dan
bersekutu dengan kumpulan al-Qaeda di Afrika Utara, Ansar Dine, menawan kembali
kawasan berkenaan dan menghalau keluar pemberontak Tuareg daripada semua
kedudukan kuasa.
Komuniti antarabangsa bimbang rantau gurun tersebut yang
lebih besar daripada Perancis akan menjadi tapak baharu bagi aktiviti
pengganas. Para pejuangnya juga telah mengancam mana-mana negara yang menyertai
campur tangan kuasa tentera di Mali.
Pemerintah Afrika Barat pula telah mengarahkan kerajaan
tentera sementara Mali untuk menubuhkan kerajaan perpaduan sebelum 31 Julai.
Kerajaan sementara itu dijangka lebih mampu untuk berurusan dengan situasi di
sebelah utara negara itu.
Sementara itu, pejuang daripada kumpulan Ansar Dine yang
mengawal utara Mali juga didapati telah memusnahkan dua buah makam purba Masjid
Djinguereber di Timbuktu.
Kira-kira sedozen lelaki bersenjata tiba menaiki pacuan empat
roda dan menembak ke udara untuk menakutkan orang awam. Setelah itu mereka mula
menghentam makam-makam berkenaan, menurut Ibrahim Cisse yang menyaksikan
kejadian itu.
"Mereka menyekat dua jalan utama menuju ke makam
tersebut. Mereka melihat orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis di situ dan
mula menembak ke udara," ujar seorang penduduk lain, Mahamad Ould Ibrahim.
Kemusnahan baharu itu berlaku selepas serangan seminggu
sebelumnya ke atas mercu tanda keagamaan lain di Timbuktu yang digelar UNESCO
sebagai kemusnahan yang melampaui batas.
WANITA ini menggendong anaknya di
pekarangan Masjid Besar Djenne. Penduduk setempat menjadikan kawasan sekitar
masjid sebagai pusat aktiviti harian.
Ansar Dine
telah mengisytiharkan bahawa kuil-kuil dan makam purba berkenaan sebagai haram
atau dilarang dalam Islam.
Ansar Dine
telah berikrar untuk terus memusnahkan semua binaan berkenaan tanpa
pengecualian biarpun mencetuskan kemarahan dan kesedihan daripada penduduk
dalam serta luar negara.
"Tidak
ada khazanah dunia, ia tidak wujud. Orang kafir tidak boleh masuk campur dalam
hal kami," kata seorang Tunisia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmed
yang memberitahu, dia adalah sebahagian daripada jawatankuasa media Ansar Dine.
"Kami
akan memusnahkan segalanya, walaupun makam berkenaan terdapat di dalam masjid.
Kemudian kami akan memusnahkan makam-makam di seluruh rantau Timbuktu,"
katanya.
Para pejuang
Ansar Dine atau 'Pembela Iman' memulakan pemusnahan khazanah budaya Timbuktu
pada 1 Julai, selepas UNESCO menyenaraikannya dalam sebagai Tapak Warisan Dunia
yang terancam.
Mereka
memusnahkan 16 makam dan pintu suci Masjid Sidi Yahya yang dibina pada abad
ke-15 di Timbuktu.
No comments:
Post a Comment