Pages

Friday, 25 January 2013

Rawat segera apendiks





RADANG apendiks bukanlah perkara asing didengari kerana rata-rata kita atau orang yang rapat dengan dengan kita pernah melalui masalah tersebut. 


Berdasarkan statistik, sebanyak 16 peratus populasi dunia Barat mengalami radang apendiks dan menjalani pembedahan membuang apendiks iaitu apendisektomi. 


Sehingga kini, tiada kajian yang dapat menunjukkan fungsi sebenar apendiks. Ada yang berpendapat menyatakan ia berfungsi sebagai pencegah kuman bagi kanak-kanak.


Membetulkan pemahaman umum, apendiks bukanlah penyakit. Ia merupakan bahagian pada usus besar yang berbentuk tiub bersaiz jari dan kedudukannya adalah di bahagian bawah abdomen kanan iaitu berdekatan dengan pinggang.


Sakit pada bahagian apendiks dipanggil radang apendiks yang juga dikenali sebagai apendisitis. 


Radang apendiks adalah satu keadaan di mana apendiks menjadi bengkak dan bernanah berkemungkinan kerana tersumbat lalu menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. 


Tanda-tanda nyata yang sering dihadapi pesakit ialah sakit yang keterlaluan pada bahagian kanan abdomen malah sehingga demam dan muntah. 


Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, masalah radang apendiks menjadi semakin parah jika apendiks bocor dimana kuman akan merebak ke bahagian-bahagian lain. 






"Apendiks merupakan bahagian usus besar dan sedia maklum usus besar merupakan bahagian pencernaan yang terkandung kuman yang paling teruk.


"Jika apendiks bocor, najis, nanah dan kuman yang terkandung di dalam apendiks akan merebak ke organ berdekatan malah mereka yang mempunyai masalah kencing manis akan membuatkan kuman lebih cepat merebak. 


"Sebab itu pentingnya mereka yang mengesyaki menghidap radang apendiks untuk segera bertemu dengan doktor bagi menjalani rawatan susulan sama ada melalui pembedahan ataupun penggunaan antibiotik untuk mematikan kuman.


"Walaupun peratusan mereka yang meninggal dunia akibat apendisitis adalah rendah, tetapi ia masih mampu membawa maut jika lambat mengambil tindakan," ujarnya. 


Terangnya, terdapat satu sahaja salur darah pada bahagian apendiks dan jika ia tersumbat, darah tidak dapat mengalir secara normal membuatkan ia bengkak, bernanah dan akhirnya bocor.


Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Malah bayi juga tidak terkecuali daripada masalah tersebut. 


Apendisitis penyakit bandar? Walaupun tiada punca nyata menyatakan bagaimana masalah apendiks berlaku, Dr. Jonah berpendapat ia diakibatkan daripada corak pemakanan yang tidak sihat dan kuman daripada makanan serta minuman. 


Ini kerana, apendiks berada pada usus besar dan semestinya ia merupakan kawasan pemprosesan makanan dan pencernaan. 


"Orang di bandar banyak yang makan di luar di mana kita tidak tahu tahap kebersihan makanan yang dimasak. 


"Malah, apendiks turut sering menyerang pelajar yang tinggal di asrama. 


"Ketika saya bertugas di kawasan luar bandar, jumlah kes masalah apendiks amat kurang daripada di bandar besar," ujarnya yang pernah bertugas di batu Pahat, Johor. 


Selain itu, corak pemakanan yang tidak teratur dan tidak seimbang berkemungkinan menjadi punca radang apendiks. 






Mereka yang kurang mengambil air putih, sayur-sayuran dan mengalami masalah penghadaman lebih mudah mengalami masalah tersebut. 


Simptom apendisitis


Simptom radang apendiks pada awalnya sering disalah tafsir sebagai sakit perut biasa atau angin memandangkan ia sering menyerang di bahagian perut di sekitar pusat. 


Selalunya, sakit tersebut semakin kuat satu hingga dua hari kemudian dan ia berpindah dari perut ke bahagian kanan abdomen. 


Keadaan bertambah buruk jika pesakit turut mengalami simptom lain seperti demam, cirit-birit tetapi najis tidak banyak, muntah, tiada selera makan dan semestinya badan lemah. 


Jika apendiks sudah bocor, pesakit akan berasa sakit di seluruh badan terutamanya perut dan demam kuat. 


"Kadang-kadang pesakit menyangka ia hanyalah sakit perut biasa lalu pergi mengurut di mana ia akan lebih memburukkan keadaan kerana apendiks yang bengkak mampu pecah jika ditekan kuat. 


"Apa yang penting jangan memandang remah sakit di perut terutamanya di bahagian kanan dengan segera bertemu dengan doktor," ujarnya. 


Namun ujar Dr. Jonah, ada kes di mana kanak-kanak mendapat simptom seperti radang apendiks tetapi sebenarnya ia adalah demam virus.


Ini kerana apendiks turut mempunyai kelenjar yang akan membengkak apabila demam teruk dan rawatannya berbeza dengan apendisitis.

No comments:

Post a Comment