KALI ini saya ingin menulis mengenai anak dan bagaimana orang
dewasa melihat anak. Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Sebagai ibu bapa
biasanya secara semula jadi amat mengasihi anak atau anak-anak mereka.
Cara memberi kasih sayang dan tumpuan berbeza antara ibu dan
bapa dan antara anak-anak. Ini kerana setiap anak adalah berbeza dan tidak
mungkin serupa baik dari segi fizikal mahupun emosi, walaupun mereka kembar
seiras.
Anak-anak juga mempunyai hubungan berbeza dengan ibu bapa.
Umumnya, anak perempuan lebih manja dengan ayah dan anak lelaki dengan ibu.
Kebanyakan anak sememangnya lebih rapat dengan ibu kerana fitrah ibu adalah
orang paling rapat dengan anak.
Sebab itu dalam banyak hal, jika anak dimarahi atau dipukul
orang lain, ibu akan lebih beremosi.
Anak juga pada kebiasaannya mendapat ketenangan berbincang
dengan ibu kerana sifat dan fitrah ibu. Namun tidak dinafikan ada juga yang
berlaku sebaliknya.
Dalam sebuah rumah tangga yang aman damai dan bahagia, anak
akan membesar dalam keadaan teratur dan beradab. Mereka terpelihara daripada
segala kesukaran dan emosi yang boleh memudaratkan. Namun tidak semua bernasib
baik.
Hari ini dengan jumlah perceraian yang meningkat
mengakibatkan anak-anak terdedah kepada masalah rumah tangga dan pergaduhan
antara ibu dan bapa. Yang paling malang apabila ibu dan bapa meminta mereka
membuat pilihan untuk tinggal dengan siapa.
Dalam hal perebutan hak pemeliharaan anak atau hadanah,
ibu dan bapa sering terlupa bahawa anak bukannya barang atau anak patung yang
boleh diambil dan diserah sesuka hati. Mahkamah syariah dan sivil yang
mengendali kes-kes sebegini juga perlu sedar bahawa anak adalah ciptaan Allah
yang perlu diberi pelindungan khas apabila perkara seperti itu berlaku. Adalah
amat penting meletak diri dalam situasi anak yang direbut. Jika kita adalah
mereka, bolehkah kita memilih?
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor 2003
menggariskan hak hadanah seperti berikut melalui Seksyen 82.
1. Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak
daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam
perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
2. Jika mahkamah berpendapat bahawa ibu hilang kelayakan di
bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadanah atau
penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen lain.
3.
Mengikut subseksyen itu hak itu hendaklah berpindah kepada salah seorang yang
berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:
* nenek sebelah ibu hingga ke atas.
* bapa.
* nenek sebelah bapa hingga ke atas.
* kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
* kakak atau adik perempuan seibu.
* kakak atau adik perempuan sebapa.
* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu
sebapa.
* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu.
* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa.
* emak saudara sebelah ibu.
* emak saudara sebelah bapa.
* waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai 'asabah
atau residuari.
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan
kebajikan kanak-kanak itu.
Seksyen 83 enakmen itu pula menyebut, seseorang yang
mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak
terhadap hadanah jika:
* dia adalah seorang Islam.
* dia adalah sempurna akal.
* dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak
itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
* dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah.
* dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin
menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Seksyen 84 pula mengenai hak seseorang perempuan terhadap hadanah
adalah hilang:
* jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak
mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin
dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan
kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula
jika perkahwinan itu dibubarkan;
* jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan
terbuka.
*Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan
mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke
atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh
mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
* Jika perempuan itu murtad.
* Jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak
itu.
Jika diamati peruntukan ini, jelas Islam memberi keutamaan
kepada ibu dan ibu kepada ibu untuk memelihara anak jika berlaku perceraian.
Secara realitinya bukan semudah itu mendapat hak hadanah anak. Ini
kerana kadang-kadang ia lebih indah khabar daripada rupa.
Banyak kes yang menyebabkan ramai merasakan peruntukan
undang-undang yang ada tidak dapat menyelesaikan kes yang mana ibu dan bapa
tidak dapat berfikir secara waras dalam menangi isu merebut anak.
Lamanya penjagaan
Seksyen 85 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor
2003 menyebut hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat
setelah dia mencapai umur tujuh tahun. Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadanah,
membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur
sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun, jika
kanak-kanak itu perempuan.
Setelah tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun
kepada bapa. Jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz),
maka dia berhak memilih untuk tinggal sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika
Mahkamah memerintahkan selainnya.
No comments:
Post a Comment