Ketika hamil ibu-ibu dinasihatkan mengambil banyak makanan berkhasiat termasuk susu. - Gambar hiasan.
SEBAGAI seorang wanita, impian bergelar ibu adalah naluri
semula jadi yang tidak dapat dinafikan.
Disebabkan itulah, sebaik sahaja disahkan mengandung,
bakal-bakal ibu pastinya mengambil berat akan pemakanan mereka sepanjang
sembilan bulan agar kesihatan diri serta anak yang dikandung sihat.
Untuk itu, bagi menjamin kesihatan bakal-bakal ibu, mereka
digalakkan mengambil produk pemakanan berkhasiat yang baik khusus untuk
keperluan pemakanan wanita mengandung.
Di samping pemakanan berkhasiat yang lazim dinasihatkan oleh
para doktor, kini ibu-ibu mengandung turut disarankan agar mengambil makanan
yang mengandungi probiotik untuk menjamin kesihatan anak yang dikandung.
Dalam masa yang sama, pemakanan yang berkhasiat amat
digalakkan agar ia dapat menampung kesihatan bayi sebaik dilahirkan sehingga
menjangkau 1,500 hari.
Dipercayai sepanjang tempoh ini merupakan masa kritikal untuk
pembentukan serta tumbesaran anak-anak dan ia perlu diberi perhatian serta
tumpuan oleh ibu bapa.
Oleh yang demikian, menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi,
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor,
ibu-ibu mengandung digalakkan mengambil pemakanan yang mengandungi probiotik
seperti tempe, yogurt, minuman berkultur, miso dan sesetengah minuman jus atau
soya.
Ini kerana ulas Dr. Natasha, golongan itu sering menghadapi
pelbagai masalah kesihatan seperti sembelit, pedih hulu hati, keputihan,
kencing tidak lawas dan sebagainya.
Dengan adanya ‘bantuan’ daripada pengambilan makanan-makanan
yang mengandungi probiotik, ia dapat membantu mengurangkan masalah tersebut
dengan penambahan bakteria baik di dalam usus.
Ia juga dapat mengekal dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu
mengandung dan anak yang dikandung kerana lazimnya daya tahan wanita semasa
mengandung akan menurun.
“Ibu-ibu yang mengandung digalakkan mengambil makanan yang
kaya dengan probiotik melalui diet harian dan memakan suplemen dalam bentuk
kapsul, pil atau susu ibu mengandung yang terdapat probiotik.
“Pengambilan probiotik bukan sahaja memanfaatkan kepada ibu
malah ia turut memberi kebaikan kepada anak yang dikandung.
“Secara tidak langsung, kebaikan probiotik yang diambil
semasa mengandung akan berterusan sehingga anak yang dilahirkan mencecah 1,500
hari," ujarnya ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia,
Cheras, baru-baru ini.
Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat pada dinding usus
untuk menjadikan badan kuat dan sihat.
Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan
keseimbangan dalam ekosistem usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi
dengan baik.
Malah sistem ketahanan badan yang baik diperlukan bagi
menjaga kesihatan.
Di sinilah probiotik atau ‘bakteria baik’ dalam usus dilihat
memainkan peranan penting bagi memperkuatkan lagi sistem imun.
Kekurangan probiotik juga menyebabkan sistem ketahanan badan
tidak berkembang dengan baik. Ini boleh membawa kepada gangguan sistem
ketahanan, gejala alahan dan obesiti.
Menurut Dr. Natasha banyak kajian klinikal telah dilakukan
mengenai makanan tambahan probiotik. Salah satunya oleh seorang profesor dalam
bidang perubatan kanak-kanak dari Universiti Turku, Finland, Dr. Erika
Isolauri.
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Isolauri baru-baru ini telah
menemui fungsi terbaru probiotik di mana ia mungkin memainkan peranan penting
untuk mengawal paras gula dan juga berat badan bagi ibu-ibu mengandung.
Ini bermakna probiotik mampu mengawal kencing manis dan berat
badan wanita ketika hamil dan selepas bersalin.
Bagaimanapun ujar Dr. Natasha, ia masih lagi dalam kajian
awal dan kajian seterusnya perlu dilakukan.
Kata beliau, pengambilan probiotik juga adalah untuk
maksimumkan kebaikan bayi selain dapat meredakan bayi yang sedang mengalami
masalah cirit birit.
Berbicara mengenai jumlah pengambilan probiotik, ulas Dr.
Natasha, setiap individu adalah berbeza dan seelok-eloknya mengikut nasihat
yang disarankan doktor.
Apabila ditanya mengenai kesan sampingan pula, ulas Dr.
Natasha, kajian-kajian saintifik tidak menunjukkan sebarang kesan buruk yang
tidak diingini di kalangan wanita mengandung dan bayi.
Dr. Natasha juga percaya orang ramai perlu dididik mengenai
manfaat probiotik kerana ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada ibu-ibu
mengandung serta bayi tetapi juga kepada orang ramai.
No comments:
Post a Comment