Sel otak mula mati dari remaja
BADAN SIHAT... aktiviti bersama rakan
dan jiran boleh cegah serangan demensia.
ASUH DARI KECIL... aktiviti merangsang
minda, jika kerap diamal, boleh bantu memperlahankan kemerosotan sel otak.
“SIAPA nama kamu tadi?” soal nenek Syafiq kepadanya meskipun masuk kali
ini, sudah lebih lima kali pertanyaan itu diajukan. Reaksinya seolah-olah baru
kali pertama bertemu cucu kesayangannya.
Mungkin ramai pernah melalui situasi ini tetapi menyangkakan ia masalah
biasa dihadapi individu apabila mencapai usia emas.
Sebenarnya, anggapan itu tidak benar kerana demensia atau dalam bahasa
mudahnya, nyanyuk boleh menyerang sesiapa saja, termasuk golongan muda.
Pakar Psikiatri Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Zainal Abdul Rahman, berkata demensia ialah penyakit berkaitan daya ingatan disebabkan kematian sel otak secara tidak normal.
Ia diambil daripada istilah Latin ‘demens’ yang bermaksud kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat kecederaan atau penyakit pada otak melebihi jangkaan dalam proses penuaan biasa.
“Banyak faktor boleh menyumbang kepada demensia, antara gejala biasa ialah peningkatan usia, keturunan, latar belakang pendidikan rendah, selain disebabkan kegagalan kelenjar tiroid berfungsi dan penyakit lain seperti strok.
“Pesakit juga biasanya sukar mengingati tarikh dan terlupa tempat sesuatu barang diletakkan, terpaksa menggunakan senarai untuk mengingat, terlupa nama, perbualan terbaru atau maklumat penting seperti tarikh lahir dan alamat,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menurutnya, sel otak biasa mula mati ketika individu berusia 18 tahun dan sel itu terus mati secara berperingkat-peringkat sehingga akhir hayat seseorang, manakala demensia berlaku kerana sel otak seseorang manusia mati lebih awal daripada tempoh sepatutnya.
“Jika sel otak mati lebih cepat daripada biasa, ia mendedahkan seseorang kepada demensia. Mereka yang sering terlupa ketika masih muda berisiko tinggi mengalami gejala ini apabila usia semakin meningkat.
“Demensia biasa menyerang individu berusia 60 tahun ke atas, namun individu berusia 40 tahun yang mengadu sering terlupa perlu membuat pemeriksaan rapi bagi mengelak keadaan tidak terkawal,” katanya.
Ramai menganggap demensia perkara normal bagi orang berusia jika sering terlupa. Ini tidak benar dan tahap lupa itu perlu dikenalpasti supaya tidak menjadi lebih teruk sehingga menyusahkan.
“Lupa tidak normal sering diiringi masalah lain seperti sukar mengingat sesuatu perkara walaupun ia masih baru. Tanda pesakit demensia dikesan melalui ujian memori, ujian psikologi merangkumi ujian orientasi (soalan mengenai tarikh, hari, bulan, tahun dan tempat tinggal), ingatan, pemerhatian, kira-kira dan bahasa.
“Sebaik-baiknya, lakukan aktiviti yang merangsang minda bagi mengelak diserang demensia.
“Ini termasuklah menyertai jaringan sosial dengan masyarakat, selalu berfikiran positif, amalkan hidup dan pemakanan sihat seperti bersenam aerobik, berjalan pantas dan berjoging yang merangsang salur darah dalam otak terbuka yang baik untuk pengaliran darah.
“Mereka yang hidup di sekeliling masyarakat yang teguh di segi sosial dan kejiranan juga lebih terlindung daripada gejala ini,” katanya.
Simptom demensia
·
Hilang daya ingatan (lupa temu janji, tidak boleh mengimbas
semula perbualan atau kegiatan terkini)
·
Silap meletak objek dan memikirkan barang terbabit dicuri
· Mengelamun (keliru di tempat baru, terlupa tarikh, masa dan
lupa arah pulang ke rumah)
· Percakapan (terlupa nama objek umum, penggunaan perkataan
tidak sesuai dan sering mengulangi ayat dan kenyataan)
· Hilang minat pada hobi dan kegiatan kegemaran, mengelak
melakukan kegiatan yang pernah disukai
· Sukar mengingati sahabat, rakan sekerja dan ahli keluarga,
terlupa nama cucu dan kadangkala kawan dianggap orang asing
· Sukar melakukan kegiatan kompleks atau rumit (menyimpan buku
cek, mengira wang dan menggunakan telefon)
· Berkelakuan ganjil (bersiar-siar pada waktu malam dan
bersikap agresif)
· Tahap kebersihan diri rendah (terlupa gosok gigi, lambat
pakai pakaian dan tidak berpakaian sewajarnya serta terlupa mandi)
Berikut beberapa fakta serta gejala yang wajar anda ketahui berkaitan
penyakit demensia:
· Sejenis penyakit otak yang berlaku secara progresif.
Dianggarkan 24 juta orang di seluruh dunia mengalaminya.
· Berlaku secara perlahan, malah ada kalanya langsung tidak
disedari sehingga mencapai peringkat teruk.
· Menyebabkan kesukaran mengingat sesuatu, malah boleh
menjejaskan keupayaan berfikir sehingga mengganggu rutin harian seperti
memandu!
· Di Asia Pasifik, dianggarkan 18 juta penduduk menghidapinya
dan 60,000 daripadanya rakyat Malaysia. Angka ini dijangka meningkat sekali
ganda menjelang 2020.
· Di New South Wales, Australia, setiap pemandu berusia 70
tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan dan penilaian kesihatan bagi
memastikan kesihatan mental mereka baik dan mampu mengendalikan kenderaan.
Bagaimanapun, hal ini belum dipraktikkan di negara kita.
· Pesakit demensia tahap sederhana boleh memandu. Namun begitu,
pemantauan perubatan harus kerap dilakukan.
· Penilaian dan pemantauan pesakit demensia dalam keupayaan
memandu bukan mudah kerana gejala dialami setiap penghidapnya berbeza-beza.
· Pesakit tidak digalakkan memandu berdasarkan beberapa situasi
seperti:
· Terlupa di mana mereka memandu dan mengapa memandu kenderaan
· Sesat di laluan yang biasa dilalui
· Mengalami gangguan konsentrasi
· Mengalami masalah penglihatan
Punca demensia:
·
Penyakit strok atau angin ahmar yang berulang
·
Penyakit Alzheimer, terutama di kalangan warga emas
·
Kekurangan vitamin B12
·
Jangkitan sifilis atau penyakit kelamin
·
Hipotirodism iaitu kekurangan hormon tiroid, iaitu toksin
·
Terlalu banyak minum minuman keras
·
Penyakit Parkinson
·
Jangkitan HIV
·
Faktor keturunan
·
Tumor atau ketumbuhan sama ada di belakang atau depan otak
· Penyakit campak. Selepas lima tahun mengalami campak,
segelintir individu menjadi mangsa demensia
· Penyakit hidrosefalus. Pesakit mengalami masalah untuk
berjalan, kencing tidak terkawal dan ruang cecair dalam otak menjadi bengkak
Tanda demensia:
· Lupa. Individu terlupa peristiwa baru berlaku, contohnya menu
sarapan pagi, bagaimana pesakit ke hospital dan isu besar yang baru berlaku
atau perayaan utama. Pesakit juga kadangkala tidak ingat nama isteri atau suami
dan nombor kad pengenalan.
· Pesakit juga hilang sifat pemalu. Contohnya, mereka tidak
segan silu bercakap hal memalukan dan kadangkala telanjang di tengah jalan.
· Hilang kawalan ketika membuang air kecil atau besar. Individu
terbabit terkencing atau membuang air besar di merata tempat seperti dalam bas
dan tengah jalan.
·
Tidak mampu menjaga diri dengan betul. Rambut tidak disikat,
gigi tidak diberus dan tidak memakai butang baju dengan betul.
·
Pesakit tidak mampu berjalan sehingga terpaksa menggunakan
tongkat atau kerusi roda. Kadangkala ada pesakit hanya terlantar di katil dan
tidak mampu bergerak seperti sedia kala.
Pemeriksaan:
Tanda pesakit demensia dikesan melalui ujian psikologi. Pesakit menjalani ujian fungsi korteks yang diseragamkan di seluruh dunia seperti mengatur kiub, ujian ingatan dan pemeriksaan mata.
Pada peringkat awal, doktor menjalankan ujian tahap kecerdasan otak. Pesakit kadangkala menjalani ujian skan CT untuk mengesan ketumbuhan pada otak dan mengenal pasti jangkitan HIV.
Doktor memeriksa paras hormon tiroid dan memastikan tahap vitamin B12 dalam otak. Pesakit menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti penyakit sifilis iaitu VDRL.
Tanda pesakit demensia dikesan melalui ujian psikologi. Pesakit menjalani ujian fungsi korteks yang diseragamkan di seluruh dunia seperti mengatur kiub, ujian ingatan dan pemeriksaan mata.
Pada peringkat awal, doktor menjalankan ujian tahap kecerdasan otak. Pesakit kadangkala menjalani ujian skan CT untuk mengesan ketumbuhan pada otak dan mengenal pasti jangkitan HIV.
Doktor memeriksa paras hormon tiroid dan memastikan tahap vitamin B12 dalam otak. Pesakit menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti penyakit sifilis iaitu VDRL.
No comments:
Post a Comment