MIOR Muhammad Hezri Abdul Rahim, 27, merasakan seperti ada
sesuatu dalam hidungnya. Lebih menakutkan, hidungnya tiba-tiba mengeluarkan
darah.
"Selang tiga hari, kepala saya berasa sangat sakit.
Sakit itu kemudiannya berpindah ke rahang. Mata saya pula berair," ujarnya
yang mengalami simptom berkenaan pada Oktober tahun lepas.
Hezri kemudian berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
Awalnya dia hanya disahkan mengalami pendarahan biasa tetapi selepas tiga hari,
keadaan kesihatannya masih sama.
Tidak tahan dengan sakit, Hezri tekad berjumpa doktor pakar
tekak, hidung dan telinga (ENT).
"Saya disahkan menghidap penyakit sinus dan terdapat
ketumbuhan sinus di sebelah kiri hidung saya.
"Ia menghalang pernafasan saya. Saya juga mengalami
gangguan tidur seperti mudah terjaga," luahnya.
Masalah yang sama turut dialami Fatimah Majid, 65.
"Akibat ketumbuhan dalam hidung, saya susah untuk
bernafas. Dulu saya tidak kisah tetapi lama-kelamaan berasa rimas,"
ujarnya.
Fatimah pernah mengambil ubat yang disarankan doktor dan
penyakit itu hilang sekejap namun kembali serius menyebabkan hidungnya
tersumbat.
"Bukan sahaja suara menjadi sengau, saya rasa tidak
selesa ketika menjalankan ibadat seperti mengaji al-Quran dan bersolat,"
katanya.
PembedahanMungkin bagi anda masalah ini biasa. Namun, ia
tidak harus dipandang remeh kerana boleh mengganggu aktiviti harian.
Kini, Hezri dan Fatimah amat bersyukur apabila dipilih antara
lima pesakit kurang mampu dari Hospital Kuala Lumpur dan Ipoh untuk menjalani
pembedahan Balloon Sinuplasty di Prince Court Medical Centre.
Pembedahan itu menggunakan teknik terkini berbanding kaedah
biasa. Ia dilakukan secara percuma menerusi program tanggungjawab sosial
korporat hospital berkenaan.
Pakar ENT hospital itu, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, Balloon
Sinuplasty (BS) adalah kaedah baru yang menyaksikan sejenis alat dikenali
sebagai ''balloon'' dimasukkan ke dalam hidung bagi membuka sinus.
Pembedahan itu disaksikan lebih 100 doktor termasuk pakar
bedah dari negara ASEAN, Amerika Syarikat dan Eropah yang menyertai Sidang
Kemuncak Tahunan Rinologi pada Februari lalu.
''Hasil kajian yang dijalankan mendapati penggunaan belon
halus berkenaan mampu membuka rongga liang sinus yang sempit dan tersumbat
serta yang sukar dengan lebih selamat," ujarnya.
Tambah Dr. Kuljit, jika kaedah pembedahan biasa, tempoh untuk
pulih di antara satu hingga dua minggu, dengan kaedah BS, pesakit biasanya
boleh kembali bekerja dalam masa 24 jam atau 48 jam selepas pembedahan.
" Hasil kajian juga menunjukkan pesakit yang menjalani
kaedah BS kurang atau tidak langsung mengalami sakit selepas pembedahan dan
simptom-simptom sinusitis juga hilang dengan cepat," katanya.
Dalam pada itu, Hezri dan Fatimah yang dihubungi beberapa
hari selepas pembedahan bersyukur kerana pembedahan tersebut berjaya.
"Saya kini boleh bekerja seperti sedia kala. Tiada lagi
gangguan tidur waktu malam," ujar Hezri.
Fatimah pula gembira kerana dapat menjalankan ibadat pada
usia emas dengan sempurna.
"Jika dulu, nak sujud pun susah. Seperti ada sesuatu
mengalir dari hidung. Kini ia seolah-olah hilang," katanya.
Brapa kos pembedahan itu??
ReplyDelete