KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan berjaya menjinakkan
pendahulu liga, Lions XII 3-0 dalam pertarungan dua pasukan teratas Liga Super
di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, semalam.
Kemenangan itu membawa Kelantan kini hanya dua mata di
belakang Lions XII dengan kurang tiga perlawanan dan berpeluang cerah kembali
merampas kedudukan teratas liga jika mampu mencatatkan kemenangan dalam tiga
baki perlawanan tersebut.
S. Chanturu membuka tirai jaringan pada minit ke-72 selepas
mengasak hebat ke kubu Lions XII melalui sepakan voli menarik sebelum Kelantan
memperoleh gol kedua lima minit kemudian melalui Mohd. Norfarhan Muhammad pada
minit ke-77 selepas menerima hantaran daripada ketua pasukan, Mohd. Badri
Radzi.
Mohd. Rizal Fahmi Rosid menceriakan 20,000 penyokong setia Red
Warriors apabila mencipta jaringan ketiga yang amat menarik melalui sepakan
padu dari jarak 20 meter yang hanya mampu diperhatikan oleh Hyrulnizam Jumaat
pada minit ke-86.
Kelantan sepatutnya boleh meraih kemenangan yang lebih besar
jika penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha mampu menjaringkan gol menerusi
sepakan penalti pada minit kelima tetapi dapat diselamatkan oleh Hyrulnizam.
Dalam dua lagi perlawanan Liga Super, Sabah mengalahkan Felda
United 1-0 di Stadium Likas manakala di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Terengganu terikat 2-2 dengan Perak.
No comments:
Post a Comment