MAT ZAN membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Terengganu berkuat kuasa 1 Jun depan.
TEKA-TEKI berkenaan masa depan Mat Zan Mat Aris bersama
Terengganu akhirnya terjawab apabila ketua jurulatih Skuad Penyu itu mengambil
keputusan untuk meletak jawatan semalam.
Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan
bekas jurulatih Pos Malaysia itu.
Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua
minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh
akhir Piala FA.
Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan
dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol
Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.
Mengulas lebih lanjut, Che Mat berkata, keputusan itu diambil
atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.
"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan
Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.
"Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas
kegagalan layak ke final Piala FA.
"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya
sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya
ketika dihubungi Kosmo! sebelum berlepas ke Hong Kong di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Tambah Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat
untuk membimbing skuad Terengganu.
Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas
mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat.
"Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing
pasukan Terengganu.
"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari
Korea Selatan dan juga Singapura.
"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan
minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.
"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan
mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih
baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya.
No comments:
Post a Comment