GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan Alex McNear (bulatan) bergambar bersama beberapa pekerja syarikatnya, GreenLogic.
WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Wanita pertama yang
berjaya menambat hati Presiden AS, Barack Obama ternyata bukan isterinya,
Michelle Obama.
Dalam pendedahan tentang kisah cinta pemimpin negara paling
berkuasa di dunia itu semalam akhbar dalam talian MailOnline melaporkan
wanita pertama yang dicintai Obama adalah seorang gadis kulit putih, Alex
McNear.
Kini mengendalikan sebuah syarikat pembekal tenaga mesra
alam, McNear tinggal di sebuah banglo berharga AS$2 juta (RM6 juta) di New
York.
Ibu tunggal beranak satu itu dilaporkan mengundi Obama dalam
pilihan raya Presiden pada 2008.
Akhbar berkenaan tidak mendedahkan punca hubungan mereka
terputus di tengah jalan tetapi McNear akhirnya mengahwini seorang peninju
Serbia, Bob Bozic.
Bozic pernah menentang peninju legenda, Larry Holmes pada
1973 tetapi kecundang.
Mereka berkahwin pada 1987 dan hidup bersama selama tujuh
tahun sebelum memilih untuk bercerai.
Bozic, 61, kini berkerja sebagai pelayan bar manakala McNear,
51, pula menguruskan syarikat tenaga boleh diperbaharui, GreenLogic, di New
York.
Setelah berpisah dengan McNear, Obama bercinta dengan seorang
lagi wanita kulit putih, Genevieve Cook sebelum berkenalan dan mengahwini
Michelle Obama.
Kisah cinta Obama didedahkan pada minggu ini dalam sebuah
buku biografi mengenai presiden berkenaan oleh penulis AS, David Maraniss.
Ketika ditanya berhubung pendedahan tersebut, McNear
memberitahu akhbar MailOnline: "Saya tidak mahu diwawancara."
"Saya cuma memberikan satu temu bual kepada Maraniss dan
tiada apa lagi yang saya ingin katakan," tambahnya.
Ditanya sama ada dia akan keluar temu janji bersama Obama
jika Presiden AS berkenaan kembali mendambakannya, McNear berkata,
"selamat tinggal" dan memutuskan talian.
Dalam wawancara bersama Maraniss, wanita itu berkata, mereka
berkenalan ketika belajar di Kolej Occindental di California.
Perkenalan tersebut membawa kepada hubungan cinta musim panas
di New York ketika kedua-duanya berusia 20 tahun pada 1981.
Ketika itu, Obama berpindah ke Universiti Columbia di New
York untuk menamatkan pengajiannya. - Agensi
No comments:
Post a Comment