Sayyid Abdullah ibnu Muhammad ibnu Al-Siddiq Al-Ghumari
Al-Hasani dilahirkan di Maghribi pada awal Rejab tahun 1328 Hijrah bersamaan
1910 Masihi.
Beliau lahir daripada sebuah keluarga yang jaluran nasabnya
sampai kepada Saidina Al-Hasan ibnu Ali dan Fatimah Al-Zahra binti Rasulullah
SAW, yang kuat berpegang dengan agama, masyhur dengan ketakwaan dan keimanan.
Ayahnya, Sayyid Muhammad ibnu Al-Siddiq merupakan salah
seorang ulama dan wali Allah yang masyhur pada zaman tersebut.
Manakala bondanya, Syarifah Fatimah Al-Zahra merupakan cucu
kepada Sayyid Ahmad ibnu Ajibah Al-Hasani pengarang syarah kitab hikam yang
masyhur iaitu Iqaz Al- Himam fi Syarh al Hikam dan kitab Al-Bahr
Al-Madid fi Ulum Al-Quran Al-Majid.
Pengajian Awal
Pada 1329 Hijrah Sayyid Abdullah telah dibawa oleh ayahnya
bersama keluarga menuju ke Mekah bagi menunaikan fardu haji.
Ayahnya telah memerintahkan salah seorang daripada muridnya
menunaikan rukun dan amalan haji bagi pihak Sayyid Abdullah yang pada ketika
itu baru berumur setahun.
Kemudian ayahnya telah menghantarnya menghafaz al-Quran dan
pada umurnya lima tahun, beliau telah telah berjaya menghafaz al-Quran dengan
Qiraat Warasy, matan-matan asas ilmu Islam seperti matan hadis Al-Arba'in
Al-Nawawi, Al-Aajurrumiyyah dalam ilmu nahu, sebahagian besar
daripada Alfiyyah Ibnu Malik, sejumlah hadis daripada kitab Bulugh Al-Maram
dan sebahagian Mukhtasar Al-Khalil berkaitan Feqh mazhab Maliki.
Kemudian Sayyid Abdullah menyambung pengajian di Masjid
Al-Qurawiyyin di Fas selama enam bulan atas arahan ayahnya. Di sana beliau
menghadiri halaqah-halaqah ulama yang menghidangkan pelbagai jenis ilmu Islam.
Sebaik menamatkan pengajian di Masjid Al-Qurawiyyin, Sayyid
Abdullah pulang untuk menimba ilmu daripada ayahnya pula.
Pada setiap pagi beliau akan berbincang, bermuzakarah dan
bertanyakan sebarang kemusykilan ilmu pengetahuan kepada ayahnya.
Ayahnya telah mentalqinkan wirid Tariqat al-Syazuliyyah dan
memuji Sayyid Abdullah dalam salah satu ucapan: "Engkau adalah seorang
faqih muhaddith yang sufi."
Taraf Keilmuannya
Sayyid Abdullah dibariskan sebagai al mutafannin pada
zamannya sebaris dengan para ulama muktabar di dunia Islam pada ketika itu.
Beliau mampu menguasai segenap bidang ilmu Islam seperti tauhid, hadis, tafsir,
fiqh, usul fiqh, tasawuf, nahu sorof, balaghah, arudh dan qofiyah serta menjadi
rujukan ulama, para penuntut ilmu Islam di timur dan barat.
Ketika berada di Mesir, Sayyid Abdullah mempunyai hubungan
yang rapat dengan ulama besar dan di antara mereka ialah Al-Allamah Syeikh
Muhammad Zahid Al-Kauthari.
Sayyid Abdullah menghadapi pelbagai ujian getir dalam
hidupnya. Ketika berada di Mesir, beliau telah ditangkap kerana difitnah sebagai
pengintip bagi pihak Perancis terhadap Algeria.
Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya telah
dipinda kepada hukuman penjara.
Sayyid Abdullah Al-Ghumari telah menghasilkan lebih 30 buah
karya yang mencakupi pelbagai bidang ilmu dan karya-karyanya ini menjadi
rujukan dan sandaran para ulama sehingga hari ini.
Kebanyakannya telah dicetak dan terdapat juga yang masih
berbentuk manuskrip dan salinannya yang disimpan oleh ahli keluarga dan
murid-murid rapatnya.
Kepulangan ke Maghribi
Beliau pulang ke tanah airnya setelah menghabiskan 40 tahun
di Mesir. Di Maghribi, beliau menjalani rutin kehidupan seperti biasa sebagai
ulama dan syeikh ilmu dengan membacakan kitab-kitab hadis serta ilmu-ilmu Islam
yang lain, menjawab persoalan-persoalan agama serta menunaikan solat lima waktu
bersama para jemaah.
Kehidupannya amat sederhana dan zuhud. Beliau menolak segala
tawaran berbentuk kebendaan tetapi memilih tinggal di tingkat atas Zawiyyah
Siddiqiyyah bersama kitab-kitabnya.
Sayyid Abdullah kembali ke rahmatullah pada Khamis 19 Syaaban
1413 Hijrah bersamaan 11 Februari 1993 Masihi pada usia mencecah 85 tahun.
Beliau disemadikan di sisi ayahanda dan bondanya di Zawiyah
Siddiqiyyah, Tanjah, Maghribi. Kaum muslimin berhimpun memberikan penghormatan
dan menyembahyangkan jenazahnya di Masjid Besar Tanjah, Maghribi.
No comments:
Post a Comment