Pemain-pemain Kelantan diarak ke kediaman Annuar di Bukit Marak menaiki sebuah lori khas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.
KOTA BHARU - Skuad bola sepak Kelantan diberi sambutan wira
lebih 2,000 penyokong setia Red Warriors sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang
Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, semalam.
Semua pemain dan pegawai pasukan termasuk Presiden Persatuan
Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa disambut dengan laungan 'gomo
kelate gomo' diiringi paluan gendang menyebabkan bangunan LTSIP menjadi gegak
gempita.
Kesemua pemain kemudiannya diarak ke kediaman Annuar di Bukit
Marak menaiki sebuah lori The Red Warriors yang dihias khas sambil ratusan
kenderaan yang membawa bendera negeri Kelantan mengiringi konvoi tersebut.
Beberapa penyokong setia yang ditemui sempat merakamkan
ucapan terima kasih kepada semua pemain Kelantan atas kejayaan itu.
Mereka juga terharu dengan sumbangan yang diberikan Annuar
kepada pasukan meskipun beliau digantung daripada aktiviti bola sepak.
Faizuddin Sulaiman, 24, ketika ditemui berkata, bola sepak
merupakan satu-satunya hiburan yang dapat menyatukan rakyat negeri ini justeru
kemenangan tersebut memberi kesan yang sangat mendalam kepada setiap individu.
"Alhamdulillah kemenangan ini memang telah ditunggu
sejak tiga tahun lalu ketika Kelantan pertama kali berjaya ke perlawanan akhir
dan hari ini kami semua berada di sini untuk bersama pasukan.
"Saya berada di sini sejak tengah hari tadi kerana tidak
mahu melepaskan peluang untuk melihat Piala FA secara dekat serta mahu
bersalaman dengan semua pemain pasukan," katanya.
Sementara itu, bagi Wan Ahmad Jauzi Mohd. Tahar, 24, beliau
berharap kemenangan itu dilihat bukan sekadar atas usaha pemain di atas padang
tetapi semua pihak perlu turut memberi penghargaan atas usaha keras yang sudah
ditabur Annuar.
"Saya gembira sangat bila kami menang tetapi apabila
melihat Tan Sri Annuar berada di kalangan penyokong dalam perlawanan malam tadi
bukannya di tempat duduk khas saya sangat terharu.
"Tan Sri telah bekerja keras membina pasukan ini
terutama dalam soal kewangan kerana tanpa beliau pasukan ini tidak akan berada
di sini. Saya amat berharap agar beliau masih dapat memegang tampuk KAFA kerana
khidmatnya masih diperlukan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment