KEHANGATAN kisah manusia menjadi santapan buaya atau serangan
haiwan reptilia yang terkenal dengan jolokan sang bedal ini sering menjadi
paparan media.
Malah cerita atau mitos mengenai haiwan pemangsa ini
seringkali menjadi bualan penduduk yang tinggal berhampiran sungai, lebih-lebih
lagi di sepanjang sungai di Sarawak.
Terbaharu, negara digemparkan dengan kejadian menimpa isteri
Ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, yang dibaham buaya
berukuran lima meter dan bersaiz sebesar tong dram. Dia diserang ketika sedang
mandi di jeti rumah panjang itu.
Rentetan peristiwa tersebut, suami mangsa Embol Asum, 48,
menyimpan dendam terhadap Bujang Sebelak, pemangsa yang meragut nyawa wanita
yang dikahwininya kira-kira tiga dekad lalu.
Berbekalkan kerinduan terhadap mendiang isteri dan dendam
kesumat terhadap haiwan yang dalam masyarakat Iban yang terkenal dengan
panggilan 'aki' atau sebutan akik, 'orang dalam' atau 'jelu air', kepakaran dan
kemahiran seorang pawang tersohor dari Betong, Indet anak Sanabong, 49,
diperlukan.
Menceritakan pengalamannya, Indet mula belajar ilmu tersebut
daripada seorang guru di Sipitang, Sabah selama dua tahun.
"Saya bekerja tanpa gaji tetapi saya banyak mengikutnya
berniaga buah pisang dan nanas.
"Siang hari saya akan membantu guru berniaga. Pada malam
hari, barulah saya belajar ilmu tersebut sehingga dia mengambil saya sebagai
anak angkat sehinggalah perguruan saya sempurna," katanya.
INDET menunjukkan tiga
mata kail ketika keluar memburu buaya di Sungai Sebelak, Betong, Sarawak
baru-baru ini sambil diperhatikan isterinya.
|
Bapa kepada enam anak yang berusia antara 21 hingga 30 tahun
itu mula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak remaja pada usia 16 tahun.
Dia mendakwa telah menangkap puluhan ribu buaya di seluruh sungai Sarawak sama
ada untuk menjualnya atau menangkap buaya yang membaham manusia.
Disumpah jadi buaya
"Lima anak saya disekolahkan menggunakan duit upah
menjual buaya kepada taman-taman buaya dan orang perseorangan. Tetapi apabila
saya mengetahui tindakan saya itu menyalahi undang-undang saya berhenti,"
ujar lelaki bertubuh tegap dengan ketinggian 1.6 meter itu.
Indet yang gemar memakai topi merupakan seorang yang tidak
lokek berkongsi pengalaman.
Menurut lelaki yang mempunyai lebih tiga dekad pengalaman
menangkap buaya itu memberitahu, mengikut kepercayaan, buaya yang mengganas
dengan membaham manusia asalnya ialah manusia yang kemudiannya disumpah menjadi
buaya.
"Jolokan nama 'bujang' bermaksud orang yang jaguh, hebat,
disegani dan gelaran terhormat bagi seorang lelaki.
"Jadi sinonimnya gelaran bujang yang diberi kepada
reptilia ini kerana menghormati buaya buas," katanya.
Malah, mengikut kepercayaan sesetengah masyarakat Iban
sendiri, aki atau buaya ini merupakan jelmaan dewa sungai iaitu Ribai.
Kata Indet, kepercayaan ini juga mendorong masyarakat
setempat mengelak daripada membunuh haiwan ini kerana bimbang ditimpa
malapetaka.
PENGHUNI rumah panjang
menjulang Bujang Seblak, buaya yang dipercayai menyebabkan kematian Siah.
|
Mengikut ilmu yang dipelajari Indet, buaya tidak menyerang
sebarangan orang sebaliknya akan menyerang manusia yang hanya berada dalam
keadaan puni atau sebutannya punik.
"Mengikut masyarakat Iban puni bermaksud seakan-akan
kempunan dalam budaya masyarakat Melayu, tetapi puni ini lebih kepada janji
yang tidak ditepati oleh seseorang.
"Seperti dia dipelawa untuk makan tetapi dia tidak
menjamah makanan tersebut lalu melakukan pekerjaan lain maka orang itu berada
dalam keadaan puni," terangnya.
Sehubungan itu, bagi membatalkan puni apabila seseorang
dipelawa makan, dia harus menjamah sedikit makanan atau menyentuh bahagian
bawah pinggan makanan sambil berkata, 'udah aki'.
"Antara pantang-larang yang diamalkan masyarakat yang
mendiami kawasan berhampiran tepi sungai ialah tidak sesekali bercakap besar
kerana aki ini tidak menyukainya.
"Sekalipun hanya terdetik di dalam hati, perasaan untuk
mencabar ini akan menyebabkan naluri mahkluk tersebut naik berang lalu
menyerang manusia," katanya.
INDET (tengah) bersama
rakannya ketika menangkap buaya di Miri, Sarawak.
|
Dalam pertemuan dengan Indet tersebut di rumahnya di Betong,
suami kepada Rameh anak Manggai, 58, berkongsi serba sedikit tentang ilmunya
untuk memburu buaya yang mengganas di sungai-sungai sekitar Sarawak.
Pada satu operasi memburu Bujang Sebelak di Sungai Sebelak,
Roban, Saratok seekor buaya yang dinamakan Bujang Muara 'longlai' dan akur
kepada Indet.
Membuang puni
"Puni terhadap buaya terjadi apabila ia pernah membaham
manusia. Untuk menamatkannya, buaya tersebut terpaksa memakan umpan yang telah
dijampi oleh saya.
"Hanya buaya yang pernah makan manusia sahaja akan
memakan umpan terbabit yang menggunakan daging anjing putih yang diletakkan
pada gugusan tiga mata kail serta diikat pada tali rotan hidup," ujarnya.
Sehubungan itu, untuk membuang puni dalam kes buaya yang
meragut nyawa manusia bererti buaya itu sendiri perlu dihapuskan.
Mengikut kepercayaan Indet, buaya yang tidak memakan umpan
tersebut lambat-laun akan menemui ajalnya juga.
Mengenai kebolehannya menangkap buaya ganas dengan tangan
kosong, Indet memberitahu, hanya buaya yang bersalah dan sedia mengakui
kesalahannya sahaja akan memakan umpan tersebut.
"Kamu telah melihat sendiri bagaimana buaya tersebut
akur dan tidak melawan semasa saya menariknya ke atas perahu selepas memakan
umpan tersebut.
"Saya ibarat polis kepada pesalah, jadi dia menyerah
diri untuk mulut dan keempat-empat kakinya digari," ujar Indet.
Namun, tidak semua buaya yang ditangkap Indet akur, malah ada
juga yang melawan semasa proses tersebut. Sehubungan itu, haiwan tersebut
terpaksa dibunuh serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
"Pembunuhan itu tidak menggunakan senjata api atau
senjata tajam sebaliknya hanya menggunakan tangan. Selepas membaca mantera,
saya akan menampar kepala buaya dan ia mati serta-merta," katanya
berkongsi rahsia.
Walaupun ilmu tersebut dituntut untuk membantu mereka yang
memerlukan bantuan, namun jika tersilap langkah ia juga boleh digunakan untuk
cara yang salah.
Sebagai seorang pawang buaya, Indet sering dicabar oleh
mereka yang mahu membuktikan kesaktian yang dimilikinya.
"Jadi diri dan hati harus dididik supaya menjadi
penyabar. Saya lebih rela malu disebabkan kalah daripada berlakunya sebarang
kejadian yang tidak diingini seperti kematian.
"Biarlah orang mengatakan saya ini penakut atau lari
dari medan perang," ujarnya selain memberitahu dia sering diajak bergaduh
oleh mereka yang ingin membuktikan ilmunya.
Bahkan, anak lelaki sulungnya, Juti anak Indet, 30, juga
tidak mampu untuk memikul beban menuntut ilmu tersebut kerana menyedari dia
tidak sesabar diri Indet.
Meskipun Indet tidak meletakkan sebarang harga, namun upah
yang diterima perlulah berbaloi mengikut usaha yang dilakukannya selain
terpaksa bertarung nyawa.
No comments:
Post a Comment