PERTEMUAN sengit dua pasukan teratas Liga Super menyaksikan
Kelantan berjaya mengecewakan LionsXII menerusi tiga jaringan pada penghujung
separuh masa kedua.
Kelantan yang beraksi di Stadium Sultan Mohamad IV
bagaimanapun berpeluang membuka jaringan seawal minit keempat namun penyerang
kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha gagal menyempurnakannya apabila mudah
diselamatkan penjaga gol lawan, Hyrulnizam Jumaat.
Bagaimanapun ia tidak menghalang tuan rumah untuk menguasai hampir keseluruhan babak pertama, terutama menerusi pemain sayap, S Chanturu yang sering kali mengancam kubu pelawat menerusi larian pantas dan kemampuan menggelecek yang dimilikinya sehingga membuka deretan peluang untuk membuka jaringan.
LionsXII pula yang berehat panjang tanpa terbabit dalam
saingan Piala FA dan AFC berbanding Kelantan lebih banyak bergantung kepada
serangan balas dan mendapat beberapa peluang terhidang untuk meledak jaringan,
namun kecekapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat membuatkan Shahril
Ishak dan rakannya berputih mata.
Penantian kira-kira 20,000 penyokong The Red Warriors akhirnya berbalas pada minit ke-73 apabila Chanturu melakukan sepakan gunting selepas mendapat hantaran Norshahrul.
Belum sempat LionsXII mengemaskan benteng pertahanan, anak buah Bojan Hodak terus mengamuk apabila Norfarhan Muhammad menambah jaringan kedua empat minit kemudian sebelum pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid merembat kencang di luar kotak penanti pada minit ke-85 untuk membolehkan kemenangan 3-0 tuan rumah.
Selain memberikan kekalahan terbesar LionsXII dalam kancah
Liga Super, keputusan ini turut menjadi hadiah bermakna buat Hodak yang
menyambut ulang tahun kelahirannya ke-41 semalam.
Kemenangan ini membolehkan Kelantan yang juga juara bertahan Liga Super mengumpul 34 mata untuk terus memberi tekanan kepada LionsXII yang kini berada di puncak liga dengan 36 mata, namun kelab negara jiran itu beraksi lebih tiga perlawanan.
No comments:
Post a Comment