KOTA BHARU -
Tiga pemain import terbaru The Red Warriors sah akan didaftarkan oleh Persatuan
Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang
akan bermula awal Januari tahun depan.
Bukan lagi rahsia, apabila ketiga-tiga pemain import iaitu Emmanuel Ayaah Okine dan Denny Agyare Antwi (kedua-duanya Ghana) dan penyerang skuad kebangsaan Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud sudah mengikat kontrak antara dua hingga tiga tahun bersama Kelantan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendaftaran ketiga-tiga pemain itu dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan peraturan di mana Kelantan bakal beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekitar Mac tahun depan.
“Kita sudah memuktamadkan keputusan (pendaftaran pemain import) berdasarkan kebenaran FAM yang membenarkan kita mendaftarkan tiga pemain import untuk saingan Liga-M pada musim depan.
“Meskipun kita mendaftarkan tiga pemain, namun hanya dua pemain import sahaja yang dibenarkan beraksi untuk Kelantan dalam kancah Liga-M pada musim depan.
"Jadi saya boleh mengesahkan ketiga-tiga mereka didaftarkan dengan FAM untuk musim depan," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai persiapan pasukan Kelantan untuk musim 2012 di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.
Mengulas mengenai pemain import keempat seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Annuar menjelaskan pihaknya sedang menguji beberapa pemain bagi mengisi kuota empat pemain import seperti yang dibenarkan oleh pihak AFC.
“Segalanya terpulang kepada jurulatih (Peter Butler) yang tentukan. Jika perlu kita ambil pemain keempat, saya sedia timbangkan meskipun kantung kewangan Kafa tidak mengizinkan.
“Pusingan pertama kita perlu menghadapi enam perlawanan, dan kita terpaksa membayar gaji mahal semata-mata bermain untuk enam perlawanan itu. Tapi jika jurulatih kata perlu, maka perlulah Kafa ambil.
“Memang peraturan AFC membenarkan kita mendaftarkan empat pemain tetapi hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa. Mungkin kalau kita ada empat pemain, kita boleh gilirkan keempat-empat pemain itu,” katanya semalam.
No comments:
Post a Comment