BAJU zirah berhias dari Mindanao, Filipina (Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah)
BAJU zirah juga dikenali sebagai baju besi. Pakaian
ini digunakan oleh para kesatria atau tentera di seluruh dunia untuk melindungi
badan daripada kecederaan senjata tajam seperti pedang, anak panah dan tombak
sewaktu pertempuran.
Sebelum baju besi digunakan dengan meluas, kebanyakan tentera
menggunakan kulit haiwan sebagai pakaian untuk melindungi diri mereka dalam
peperangan.
Seperti di China, tentera berjalan kaki khususnya menggunakan
baju zirah yang diperbuat daripada kepingan kulit tebal yang dijahit menjadi
baju.
Baju yang menggunakan cengkerang kura-kura dan besi digunakan
oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada para panglima dan keluarga
diraja.
Baju besi yang pertama dipercayai dicipta oleh orang Celt
pada tahun 300 Sebelum Masihi. Walaupun baju besi mula dipakai di Barat, ia
juga telah digunakan oleh tentera Islam seperti di Iran, India, Turki dan Asia
Tenggara.
Terdapat tiga jenis baju zirah yang digunakan oleh
tentera dalam dunia Islam iaitu baju besi berantai, baju besi bersisik dan baju
besi yang menggabungkan rantai dan plat.
Baju besi berantai diperbuat daripada jalinan besi bentuk
cincin. Jalinan ini kemudiannya disusun dalam bentuk baju yang digunakan oleh
tentera sewaktu peperangan. Terdapat baju yang mempunyai satu lapis rantai besi
dan ada yang mempunyai dua lapis dan lebih.
Baju yang mempunyai lapisan rantai besi yang lebih daripada
satu mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik berbanding yang hanya
mempunyai selapis rantai.
Jalinan rantai ini juga boleh menghasilkan seluar dan sarung
tangan untuk tujuan perlindungan bagi para tentera.
Bentuk rantai besi yang dihasilkan oleh tukang besi boleh
mempengaruhi rekaan baju besi yang dihasilkan.
Sebagai contoh terdapat dua jenis rekaan rantai besi yang
digunakan oleh tukang besi dalam menghasilkan baju besi seperti rantai yang
dihasilkan daripada cecincin kecil yang bulat dan yang kedua ialah cecincin
besar leper yang akan menghasilkan bentuk seperti sisik.
Baju besi bukan mampu dimiliki oleh semua tentera yang
menyertai peperangan. Baju besi yang halus buatannya digunakan oleh pemimpin
tentera yang selalunya terdiri daripada raja dan panglima sesebuah kerajaan.
Ini kerana proses pembuatannya yang rumit dan harganya yang mahal.
Baju besi bersisik pula diperbuat daripada kepingan kecil
besi atau besar yang disusun secara berlapis dan melintang di atas sekeping
kulit haiwan untuk dijadikan baju.
Susunan kepingan besi yang dibuat perlu diberi perhatian
supaya ia tidak mengganggu pergerakan seseorang tentera.
Jenis yang ketiga ialah baju besi yang menggabungkan rantai
dan plat besi. Keseluruhan baju akan diperbuat daripada rantai besi manakala
sesetengah bahagian badan akan dilindungi dengan plat besi seperti di bahagian
dada.
Terdapat juga baju besi yang menggunakan plat besi di
keseluruhan badan dan rantai di bahagian tangan.
Baju zirah juga mendapat sentuhan hiasan terutamanya
bagi golongan bangsawan. Teknik dan hiasan baju zirah juga dapat
membezakan status tentera di medan peperangan.
Sebagai contoh, baju zirah yang menggunakan kepingan
kulit di bahagian dada dihiasi dengan kepingan besi yang dipotong dalam
pelbagai bentuk.
Jalinan rantai yang menggunakan kombinasi warna dan susunan
yang menarik dapat menghasilkan kesan seperti tenunan di atas baju besi.
Baju zirah boleh dilihat oleh para pengunjung di
Galeri Senjata dan Perisai, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dibuka
setiap hari kepada para pengunjung.
No comments:
Post a Comment