MESKIPUN kemajuan perubatan telah menyaksikan pelbagai
penemuan vaksin tetapi rantau Asia masih ketinggalan dalam kempen pemvaksinan
dalam program pelalian.
Akibatnya, ramai kanak-kanak tidak dilindungi daripada
penyakit berbahaya.
Di Malaysia sendiri, kira-kira 70 hingga 80 peratus
kanak-kanak tidak dilindungi daripada penyakit pneumokokal kerana vaksin itu
disenaraikan sebagai tidak wajib dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP).
Kebanyakan daripada kanak-kanak yang mendapat vaksin untuk
mencegah penyakit pneumokokal adalah dari sektor swasta.
Menurut pakar penyakit berjangkit kanak-kanak, Profesor Dr.
Adriano Arguedas, selain Afrika, Asia turut menanggung beban penyakit
pneumokokal paling besar di dunia ini.
Bagaimanapun katanya, hanya sebilangan kecil negara Asia
menyedari kesan serius penyakit itu.
“Kerana kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kami
tidak dapat menonjolkan kesan penyakit ini," ujarnya.
Katanya, kanak-kanak di 15 buah negara disenaraikan berisiko
tinggi mati disebabkan oleh pneumonia.
Bangladesh, China, India dan Pakistan merupakan antara negara
yang sentiasa berada di kedudukan yang teratas.
Menurutnya, rantau seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang
memasukkan vaksin pneumokokul ke dalam NIP mereka telah menunjukkan penurunan
mendadak dalam bilangan kes dan penyakit.
“Tiada cara lain untuk menangani ancaman penyakit berjangkit
ini kecuali dengan melakukan pemvaksinan yang sebelum ini telah memperlihatkan
kejayaan dalam usaha menghapuskan polio, cacar dan rubela," katanya ketika
memberikan ceramah mengenai vaksin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah
mengisytiharkan pelalian sebagai salah satu langkah pencegahan paling berjaya
dan menjimatkan kos.
Ia dapat mencegah penyakit dengan vaksin seperti difteria,
hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.
WHO juga menyifatkan program pelalian atau pemvaksinan
sebagai satu pelaburan penting bagi semua negara untuk melindungi rakyat
mereka.
Di samping itu, manfaat daripada pelalian diperluas kepada
remaja dan orang dewasa untuk memberikan perlindungan daripada penyakit seperti
influenza, meningitis dan kanser.
Dr. Arguedas berkata, memasukkan pemvaksinan ke dalam NIP
boleh mempercepatkan pencapaian wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju
menjelang tahun 2020, dengan kadar kematian kanak-kanak setanding dengan negara
maju, iaitu tujuh kematian setiap 1,000 kelahiran menurun kepada lima kematian
setiap 1,000 kelahiran.
Secara tidak langsung ia akan mencapai matlamat untuk
mengurangkan kadar kematian kanak-kanak.
Setakat ini, lebih 50 negara di seluruh dunia termasuk
Singapura, Hong Kong dan Macau telah memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam NIP
mereka.
Pengarah Kanan Hal Ehwal Saintifik (vaksin), Prifizer,
Profesor Heinz-josef Schmitt pula berkata, langkah perlu diambil untuk
menyakinkan kerajaan bahawa penyakit pneumokokal tidak boleh dipandang ringan.
“Sebahagian daripada masalah adalah kesukaran untuk
menyakinkan kerajaan supaya mengambil langkah pemvaksinan," katanya.
Tambahnya, penyakit itu sukar untuk didiagnosis.
Jadi, Menerusi kempen kesedaran ia boleh memberi dan dapat
membantu mendidik serta meningkatkan kefahaman tentang gejala penyakit dan
penyelesaian penyakit serius ini kepada orang ramai.
No comments:
Post a Comment