APAKAH yang dimaksudkan
dengan bertangas? Benarkah ia dapat memulihkan dara wanita?
Soalan yang diutarakan amat menarik sekali. Mungkin jawapan
yang saya berikan adalah pendapat saya sebagai pengamal perubatan moden. Saya
tidaklah ingin menimbulkan apa-apa kontroversi kepada pengamal perubatan
tradisional. Saya tidak menyangkal kebaikan perubatan tradisional yang telah
diamalkan sejak turun-temurun. Alangkah baiknya jika kebaikan ini dapat
dibuktikan secara kajian saintifik. Saya yakin sudah tentu pengamal perubatan
moden akan mengamalkannya dalam perawatan harian mereka.
Buat masa ini, masih belum ada kajian secara klinikal yang
dijalankan dan laporan yang dibuat adalah daripada pengalaman nenek-moyang kita
turun-temurun. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada ia boleh memulihkan dara
seseorang wanita yang telah melahirkan anak ataupun tidak. Maksud pemuliharaan
dara ini juga amat meluas. Saya agak yang dimaksudkan mungkin kemutan faraj
yang masih dapat dikekalkan (masih ketat) walaupun telah menjalani proses
kelahiran.
Namun begitu, ramai tak pasti untuk apa keperluan bertangas.
Saya sendiri kurang mengetahui kebaikan bertangas dan juga tidak pernah
mengamalkannya walaupun pernah melahirkan anak lima kali. Jawapan yang saya
akan berikan adalah daripada bacaan saya dan juga perbincangan saya bersama
pengamal perubatan tradisional.
Mandi wapBertangas ini sebenarnya adalah mandi wap. Bukan
terhad kepada wanita sahaja dan juga bukan untuk kaum Melayu sahaja. Bertangas
untuk wanita bagus dilakukan setiap kali selepas bersalin dan selepas haid.
Mungkin ramai yang sangka ia hanya untuk selepas pantang bersalin, namun
sebenarnya bagus untuk setiap kali selepas haid. Bertangas akan mengeluarkan
peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan. Bagi ibu bersalin, ia juga
dapat membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj dan rahim.


Rawatan bertangas terdapat dalam pelbagai cara dan ramuan.
Biasanya terdapat dalam dua jenis iaitu bertangas kering dan basah. Bertangas
kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ianya hanya menggunakan batu
sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu. Rawatan ini dilakukan
selepas hari ke-30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas
telah kering . Rawatan ini dipercayai dapat mengeluarkan sisa toksin dan
merawat luka. Jika selepas haid, boleh dilakukan selepas hari keenam, selama
tiga ke tujuh hari.
Bertangas basah pula menggunakan ramuan rempah ratus dan
herba yang direbus. Untuk mereka yang berpantang bersalin, mulakan rawatan selepas
hari ke-40 iaitu selepas tangas kering dan dilakukan sehingga 100 hari. Untuk
selepas haid, dilakukan selepas darah kering juga. Amalan ini dipercayai dapat
menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit.
RawatanIa juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau
badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim
atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim. Bertangas
dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras
lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.
Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan
memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk untuk
mengelakkan kecederaan ke dalam besen yang besar serta dicampurkan ramuan-ramuan
herba yang telah dibersihkan seperti buah manjakani, asam keping, daun sirih,
daun kunyit, halia merah, daun mengkudu, buah pala serta sedikit garam dan
bermacam-macam lagi sumber asli yang kebanyakannya boleh didapati di dapur
masing-masing.
Setelah dibiarkan beberapa minit, wanita yang akan menjalani
rawatan bertangas akan masuk dan duduk di dalam besen tersebut supaya air
campuran herba mengenai bahagian sulit mereka. Di samping itu, mereka boleh
menggosok bahagian sulit dengan air campuran herba tersebut untuk kesan yang
lebih baik.
Proses rawatan ini biasanya dilakukan dalam masa 20 hingga 30
minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sekerap dua kali sebulan
atau seminggu sekali. Campuran herba tersebut dipercayai mengandungi banyak khasiat
dan kelebihan tersendiri contohnya buah manjakani boleh mengetatkan faraj, daun
sirih untuk menyembuhkan luka-luka kecil manakala buah pala dapat menghindarkan
bau yang tidak menyenangkan pada alat sulit serta boleh memberi kesan yang
maksimum kepada hubungan seksual pasangan suami isteri.
Murah sememangnya rawatan ini adalah mudah, murah dan boleh
dilakukan sendiri di rumah tanpa mengeluarkan belanja besar serta mengambil
masa yang lama.
Namun wanita moden sekarang ramai yang terlalu sibuk dengan
kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman ini yang boleh membawa
kesejahteraan rumahtangga dan kesihatan serta kebersihan diri.
Sememangnya wanita tidak perlu risau melakukannya kerana
kebanyakan spa yang terdapat di Malaysia ada menyediakan rawatan bertangas
dengan cara yang sedikit berbeza malah lebih selesa iaitu diletakkan di dalam
alat mandi wap kanvas dan diletakkan serbuk herba tersebut yang telah dikisar
atau dimesin halus ke dalam periuk kukusan elektrik yang tersedia di dalam
kanvas tersebut. Ia cepat dan mudah untuk digunakan. Proses rawatannya juga
hanya 20 hingga 30 minit.
Justeru rawatan tradisional ini masih boleh diamalkan
walaupun zaman sudah berubah. Sebagai wanita mungkin anda boleh mencubanya jika
anda berkemampuan dan berkelapangan.
No comments:
Post a Comment