GANGGUAN seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di rumah, kawasan awam atau tempat kerja.
Risiko tersebut juga boleh berlaku di sekolah. Mangsanya
boleh jadi dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah atau remaja sekolah
menengah.
Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat
pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.
Sekolah perlu menyediakan tempat yang selamat untuk belajar.
Malangnya terdapat segelintir pelajar, guru, kakitangan dan
ibubapa yang masih tidak tahu bagaimanakah gangguan seksual ini boleh berlaku
di sekolah dan apakah yang perlu dibuat untuk menanganinya.
Contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah:
* Menulis, mempamer atau mengedar bahan bukan pengajaran yang
berbentuk lucah.
* Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah.
* Membuat perlakuan atau isyarat lucah
* Mengejek atau menggelar pelajar dengan panggilan lucah.
* Memaksa atau mempengaruhi pelajar membuat perlakuan
seksual.
* Menawar ganjaran tertentu atau upah atas perlakuan seksual.
* Melakukan sentuhan yang berunsur seksual.
* Memegang kemaluan sendiri di hadapan pelajar.
* Menyebar khabar angin berunsur seksual.
PemangsaKajian menunjukkan bahawa majoriti pemangsa
sebenarnya rakan-rakan pelajar itu sendiri yang sama-sama belajar di sekolah.
Jenis gangguan yang paling popular adalah 'ejekan seksual' ke
atas pelajar perempuan.
Gangguan kepada pelajar lelaki pula berlaku di asrama dan
biasanya bercorak perlakuan homoseksual atau onani.
Terdapat segelintir pemangsa (minoriti) yang terdiri daripada
kakitangan sekolah atau pekerja khidmat kontrak.
Mereka sanggup mengetepikan nilai moral dan etika
profesionalisme dengan meminta imbuhan seks sebagai balasan di atas sesuatu
pertolongan yang akan diberi.
Gangguan seksual menyebabkan trauma psikologi kepada pelajar.
Perasaan malu dan takut menyebabkan kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan
diri.
Bagaimanapun, ibu bapa dan guru boleh melihat beberapa
perubahan ke atas tingkah laku pelajar terbabit bagi menyiasat kebarangkalian
berlakunya kes gangguan seksual tersebut.
Panduan ibu bapa dan guruPada peringkat awal, tekanan emosi
menyebabkan mangsa merasa malu dan rendah diri, ditambah dengan khabar angin
cepat tersebar dalam kalangan pelajar lain.
Ini menyebabkan mereka mencari alasan untuk ponteng sekolah
atau tidak menghadiri aktiviti kokurikulum.
Mangsa yang tinggal di asrama penuh pula akan meminta untuk
ditukarkan ke sekolah harian.
Di rumah mangsa kelihatan murung dan kerap menyendiri.
Adakala mangsa cepat melenting dan membuli adik yang lebih kecil.
Mereka juga melawan arahan ibubapa dan bersikap kurang ajar.
Malah ada yang lari dari rumah.
Ini disebabkan oleh perasaan marah pelajar terhadap ibubapa
yang dituduh sebagai gagal menghalang gangguan seksual tersebut.
Di sekolah pula mangsa kelihatan cemas dan takut. Mereka
selalu kelihatan termenung semasa sesi pembelajaran dan akibatnya prestasi
akademik menurun secara mendadak.
Kadang-kadang mereka mengadu sakit kepala atau perut. Ada
juga yang mengalami histeria. Ini berlaku di bawah sedar apabila mereka tidak
mampu meluahkan masalah secara terbuka.
Bagi pelajar remaja pula, mereka cenderung untuk belajar
menghisap rokok atau mengambil dadah.
Dalam kes pencabulan seksual atau perkosaan, perubahan tingkah
laku yang ditunjukkan berbeza mengikut umur.
Kanak-kanak biasanya tidak membenarkan ibu bapa menyentuh
bahagian bawah semasa membersihkan diri.
Mereka mengadu sakit di kawasan kemaluan atau anal. Apabila
diperiksa tanda kecederaan seperti kemerahan dan pengeluaran cairan dari
kemaluan boleh dilihat.
Pelajar remaja pula biasanya gagal menyembunyikan tanda-tanda
kehamilan sekiranya ia berlaku.
Perubahan bentuk badan, penambahan berat dan muntah-muntah
pastinya mengundang kecurigaan.
Ibu bapa terutamanya dinasihatkan untuk bertanya tarikh haid
terakhir pelajar. Trauma yang dialami oleh remaja yang mengandung luar nikah
ini boleh menyebabkan kemurungan teruk dan percubaan membunuh diri.
No comments:
Post a Comment