IBNU Kathir berkata: Allah SWT
berfirman sambil mengancam orang jahat yang telah dikurniakan dengan berbagai
nikmat dunia, lalu dia mengingkari nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya
dengan kekufuran serta membalasnya dengan keingkaran terhadap ayat-ayat Allah
SWT. Dia juga mengada-adakan terhadapnya dan menganggap ayat-ayat tersebut
hanya ungkapan manusia. Dan Allah telah menghitung berbagai-bagai nikmat yang
telah Dia berikan kepadanya.
Firman Allah SWT: Biarkanlah Aku
bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian.
(al-Mudassir: 11).
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya dia
lahir daripada perut ibunya seorang diri tanpa membawa harta dan juga anak.
Kemudian setelah itu Allah SWT memberi kepadanya rezeki.
Muqatil berkata: Biarlah Aku
menghadapi dia kerana Aku akan membinasakannya dengan kebinasaan yang khusus.
Di sini terdapat ancaman keras
terhadap kederhakaan al-Walid, keingkaran dan kesombongannya, kerana memperoleh
harta dan kemuliaan. Lalu al-Walid berkata: "Aku adalah orang yang
terhormat dan anak daripada golongan yang terhormat. Tidak ada seorang Arab pun
yang setanding dengan aku dan tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan
ibu bapaku."
Allah SWT telah menghinanya dan
menghinakan pula jolokannya, sehingga jolokan itu tidak membawa makna kerana ia
bertukar menjadi celaan kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikannya sebagai
satu-satunya orang yang berada di dalam kejahatan dan kekejian.
Firman Allah SWT: Dan anak-anak
yang selalu bersama dia, (al-Mudassir: 13).
Mujahid berkata: Maksudnya
anak-anak mereka itu selalu hadir bersamanya dan tidak keluar untuk berdagang.
Urusan dagangan tersebut diuruskan oleh hamba-hamba dan juga orang-orang yang
dibayar oleh mereka, sedangkan mereka sendiri hanyalah duduk-duduk mendampingi
ayah mereka untuk bersenang-senang bersamanya.
Terdapat khilaf ulama tentang
bilangan mereka (anak-anak):
l Al-Suddi, Abu Malik, Ashim bin
Umar bin Qatadah menyebutkan: Mereka ini berjumlah 13 orang.
l Mereka berjumlah 10 orang seperti
yang disebutkan oleh Ibnu Abbas dan Mujahid.
Al-Maraghi berkata: Termasuk
anak-anak yang selalu hadir bersamanya di Mekah. Mereka tidak pernah berpisah
dengan bapanya, kerana mereka bergantung rezeki kepada bapa mereka. Ini
disebabkan mereka tidak perlu bekerja mencari rezeki kerana mereka telah
memiliki harta yang banyak. Al-Walid pun sukakan mereka dan senang dengan
kehadiran mereka.
Firman Allah SWT: Dan Ku
lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan selapang-lapangnya, (al-Mudassir:
14).
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, Aku
telah berikan kepadanya pelbagai macam harta, perkakas rumah tangga dan
sebagainya.
Al-Maraghi berkata: Menurut orang
Arab, Tahmid bermakna melapangkan. Contohnya Mahadash shabiyya (Dia
melapangkan rezeki kepada si anak). Aku lapangkan rezeki kepadanya, dan aku
luaskan kehormatan. Sepatutnya dia bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat
yang diberikan kepadanya tetapi dia ingkar kepada Tuhannya, sehingga dia
berpaling daripada seruan dakwah dan menyombongkan diri. Dia telah membalas
nikmat dengan kekafiran dan membalas kurnia dengan keingkaran serta
kederhakaan.
Firman Allah SWT: Kemudian dia
ingin sekali supaya Aku menambahnya. Sekali-kali tidak (akan Aku tambah),
Kerana Sesungguhnya dia menentang ayat-ayat kami. (al-Quran). (al-Mudassir:
15-16).
Ibnu Kathir berkata: Iaitu orang
yang ingkar (kufur) akan nikmat-nikmat Allah SWT setelah dia mengetahuinya.
Al-Maraghi berkata: Walaupun dia
bersikap tidak mahu mentaati Allah SWT tetapi dia masih lagi mengharapkan harta
dan anaknya bertambah.
Ayat ini juga mengandungi petunjuk
bahawa kekafiran al-Walid adalah kekafiran yang berbentuk 'inad. Ini
disebabkan dia telah mengetahui kebenaran itu dengan hatinya tetapi dia masih
mengingkari dengan lidahnya. Inilah kekafiran yang paling nyata.
Penutup
Penulis menutup perbincangan ini
dengan menyebut pendapat Sayid Qutub antara lain menyatakan, al-Quran
menerangkan dengan panjang keadaan hidup makhluk yang kerdil itu dan
nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya sebelum menerangkan
kisah kedegilan dan keengganannya untuk beriman.
Allah SWT telah menjadikannya
dahulu seorang diri tidak memiliki sesuatupun walaupun kain bajunya. Kemudian
selepas itu, Allah SWT telah mengurniakan kepadanya harta kekayaan yang
melimpah-ruah, anak-anak yang ramai yang sentiasa berada di sekelilingnya serta
kemudahan hidup yang sempurna.
Walaupun begitu yakin dan
percayalah kesudahan penentang Islam seperti golongan musyrikin biasanya
berkesudahan dengan banyak masalah yang menimpanya, di samping adanya pelbagai
halangan dan kemudaratan dalam kehidupan mereka.
Semoga kita semua menjadi hamba
Allah yang sentiasa mendapat dan mencapai mardhatillah.
No comments:
Post a Comment