MENJELANG pertembungan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) berdepan kelab Kitchee FC dari Hong Kong, pasukan Terengganu pimpinan Mat
Zan Mat Aris bertekad mengukir kemenangan di hadapan penyokong Peteh, petang
ini.
Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jelas satu
kelebihan yang tidak harus dipersia-siakan penyandang juara Piala FA musim lalu
itu.
Menurut Mat Zan, biarpun anak didiknya bakal bermain di
sebelah petang, itu bukan alasan untuk tidak menyajikan persembahan bertenaga.
“Saya tak tahu lagi kekuatan sebenar pasukan lawan. Namun,
difahamkan terdapat tiga pemain import membarisi kelab dari Hong Kong itu. Kami
tidak akan bermain secara terbuka seperti menentang Sabah tempoh hari.
Sebaliknya, kami mahu tampil lebih agresif bagi memburu tiga mata penuh,”
katanya yang menagih sentuhan magis penyerang import, Francis Forkey Doe supaya
meneruskan momentum jaringan.
Terengganu dan Kitchee FC kini berkongsi tiga mata dalam
Kumpulan F, selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan pertama, 6
Mac lalu.
Musim ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)
menetapkan matlamat dapat melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan kedua
selepas pertama kali menjejakkan kaki dalam saingan Piala AFC.
No comments:
Post a Comment