expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 9 May 2012

Kehidupan Nabi di alam barzakh




TELAH terbukti bahawa kehidupan Nabi kita Muhammad SAW di alam barzakh adalah lebih sempurna dan lebih hebat daripada manusia lain. Hal ini diceritakan sendiri oleh baginda. Malah disahkan wujudnya hubungan antara diri baginda dengan umatnya. 


Baginda mengetahui keadaan mereka, melihat amalan mereka, mendengar percakapan dan menjawab salam mereka. 


Terdapat banyak hadis yang membahaskan berkenaan bab ini. Antaranya ialah hadis daripada Abdullah ibnu Mas'ud ra. Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berlegar-legar di muka bumi, untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umat saya."


Dalam sebuah hadis lain, diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud ra., Nabi bersabda: "Kehidupan saya adalah baik bagi kalian, kalian berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada baginda) dan dibicarakan bagi kalian (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan baginda). Kewafatan saya juga adalah baik bagi kalian. Amalan kalian dibentangkan kepada saya, sekiranya apa yang saya lihat berunsur kebaikan, maka saya memuji Allah ke atasnya dan sekiranya apa yang saya lihat berunsur kejahatan, maka saya memohon keampunan kepada Allah untuk kalian."


Al-Hafiz Abu Zur'ah al 'Iraqi berkata di dalam kitab al Janaiz, daripada kitabnya Tarh al Tathrib fi Syarh al Taqrib: "Sanad hadis ini adalah baik. Al-Hafiz al-Haithami berkata di dalam Majma' al Zawa'id (jilid 9, halaman 24). Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, dan perawi-perawinya adalah perawi yang sahih."


Ia menunjukkan bahawa Nabi mengetahui tentang amalan kita kerana ia dibentangkan kepadanya dan baginda memohon keampunan kepada Allah untuk kita atas kejahatan dan keburukan yang telah kita lakukan. 


Jika demikian keadaannya, maka diharuskan kita bertawassul dengan baginda kepada Allah dan memohon syafaatnya di sisi Allah SWT. 


Oleh kerana baginda mengetahui perbuatan kita termasuk bertawassul dan memohon syafaat tersebut, maka baginda akan memberi syafaat kepada kita dan mendoakan kita. Baginda adalah al Syafi' al Musyaffa (pemberi syafaat yang diizinkan oleh Allah SWT memberikan syafaat) dan Allah menambah kemuliaan dan ketinggiannya.


Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Nabi adalah saksi ke atas umatnya. Ini tentu sekali menuntut kepada perlunya diperlihatkan kepada baginda segala amalan mereka agar Rasulullah menjadi saksi atas apa yang dilihat dan diketahuinya. 


Ibnu al-Mubarak berkata: "Telah mengkhabarkan kepada kami seorang lelaki daripada kaum Ansar, daripada Al-Minhal ibnu 'Amru, bahawa dia mendengar Sa'id ibnu Al-Musayyib ra. berkata: Tidak berlalu walau satu hari, melainkan dibentangkan kepada Baginda pada hari tersebut amalan umatnya saban pagi dan petang. Maka baginda mengenali umatnya melalui nama-nama mereka dan amalan mereka. Justeru itulah, Baginda SAW menjadi saksi ke atas mereka." (Rujuk an-Nisaa: 41)


Hadis lain yang menunjukkan wujudnya pertalian kehidupan Nabi di alam barzakh dengan umatnya yang masih hidup, ialah hadis daripada 'Ammar ibnu Yasir ra. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan bagi kubur saya malaikat yang Allah telah diberikan kepadanya nama-nama sekalian makhluk. Maka tidak seorangpun yang berselawat ke atas saya sehingga hari Kiamat melainkan dia menyampaikan kepada saya dengan namanya dan nama bapanya, Ini Fulan ibnu Fulan, dia telah berselawat ke atas engkau."


Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Abu Al-Syeikh Ibnu Hibban dengan lafaznya bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kubur saya apabila saya telah wafat. Tiada seorang pun berselawat kepada saya melainkan malaikat itu berkata: Wahai Muhammad! Fulan ibnu Fulan telah berselawat kepada engkau."


Lalu baginda bersabda: "Maka Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan berselawat ke atas lelaki tersebut bagi setiap satu selawatnya dengan sepuluh selawat (daripada Allah)."


Daripada Abu al Darda ra. Rasulullah SAW bersabda: "Perbanyakanlah selawat kepada saya pada hari Jumaat, kerana ia menjadi barang saksian yang disaksikan oleh malaikat. Tidaklah seseorang berselawat ke atas saya melainkan dibentangkan selawatnya itu kepada saya hinggalah dia selesai berselawat."


Abu Darda berkata lagi: "Saya bertanya, Walaupun setelah engkau wafat?" Baginda menjawab: "Walaupun setelah saya wafat. Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi, maka sebenarnya Nabi Allah itu hidup dengan diberi rezeki padanya."


Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak seorang pun memberi salam kepada saya kecuali Allah mengembalikan roh saya kepada saya sehingga saya dapat menjawab salamnya."


Manakala dalam riwayat al Nasa'i dan lain-lainnya, daripada Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan beberapa malaikat di kuburku untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umatku."

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com