TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun
Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar,
iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor
Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah.
Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab
akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman. Penduduk Mekah sendiri,
apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan
tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk
dikalahkan.
Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan
kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan
burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam
surah al-Fil.
Burung Ababil
Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan
Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya
dengan cara menghantar burung Ababil.
Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas
dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut.
Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu
dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing.
Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal
ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.
Pasukan tentera bergajah
Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama
merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang
berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah.
Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk
menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana,
tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.
Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan
semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka.
Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya
menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu
bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota
itu.
Kekuasaan Allah SWT
Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan
Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum
sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi
setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya.
Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan
bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.
Surah Makkiyah
Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh
Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini
ditempatkan pada urutan ke-105.
Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat
pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut
baginda berhijrah ke Madinah.
Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah
Makkiyah.
Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini
yang bererti "gajah".
Maksud surah al-Fil
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tidakkah engkau
mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh
pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk
menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?
Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang
berbondong-bondong.
Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah
yang terbakar.
Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan
(ulat).
Kapsyen
ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir
yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.
No comments:
Post a Comment