DALAM kehidupan seharian sifat
jujur adalah sesuatu yang lahir daripada hati yang ikhlas. Kejujuran membawa
nilai yang baik dan besar serta sangat penting dalam hubungan setiap insan.
Apabila melaksanakan amalan ibadah
dan amal jariah mestilah disusuli dengan sifat jujur tanpa ada niat lain di
sebalik apa yang dilakukan.
Oleh itu, jangan sesekali sifat
jujur itu dicemari dengan menggandingkannya pada nama Ilahi, seperti menyatakan
jujur dan ikhlas kerana Allah, namun lain yang dihajati dan dilaksanakan.
Sifat jujur dapat difahami juga
sebagai sifat ikhlas, suci hati dan tulus ikhlas dalam perbuatan dan
percakapan.
Selain itu, jujur juga adalah sifat
lurus dan keikhlasan hati dalam semua percakapan, perbuatan dan aktiviti yang dilakukan.
Pendek kata, sifat jujur datangnya daripada hati.
Sukar sekali untuk mencari orang
yang bersifat jujur pada masa kini. Walaupun ada, tetapi pengaruh wang dan
kebendaan menjadikan manusia sudah mulai melupakan kejujuran.
Justeru, Umar bin Khattab pernah
berkata: "Jujurlah, walaupun kejujuran itu boleh membunuhmu. Pada setiap
orang yang tidak jujur, akan mempunyai dua penjaga iaitu air dan lumpur."
Jujur mempunyai pengertian yang
besar dalam Islam. Ia adalah sebahagian daripada iman. Sebab itu, seorang yang
tidak mempunyai sifat jujur adalah orang yang nipis imannya. Ini disebabkan
iman dan sifat jujur berjalan seiring. Jika salah satu diabaikan, maka
kedua-duanya akan hilang.
Sifat jujur adalah hiasan diri
daripada hati. Ia merangkumi pelbagai sifat yang mulia seperti amanah, malu,
memelihara keaiban diri dan orang lain, bersopan santun serta menjaga dan
memelihara maruah diri kerana Allah.
Sifat jujur dan tidak mengkhianati
sangat penting. Daripada Abu Hurairah Nabi SAW bersabda: "Tunaikan amanat
kepada orang yang memberi amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati
orang yang mengkhianati orang." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Lantaran itu, sifat jujur perlu ada
pada diri setiap Muslim, melalui sifat ini ia akan menjadi perisai kepada orang
beriman.
Sifat jujur perlu dididik dalam
hati sejak seseorang itu masih kecil lagi. Didikan dan bimbingan yang
berterusan akan menjadikan seseorang itu sentiasa jujur dan menuju kepada
kesolehan.
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada
kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang
siapa memiliki hati yang soleh maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling
dicintai Allah ialah yang paling bertakwa." (riwayat Ath-Thabrani dan
Muslim).
Oleh itu, hati yang jujur sangat
dipandang mulia oleh manusia dan juga mendapat balasan di sisi Allah. Hati yang
jujur akan menjurus kepada sifat soleh dan ketakwaan dalam melaksanakan
sesuatu.
Orang yang paling disukai Allah
adalah orang yang jujur apabila menjual dan jujur apabila membeli dan jujur
apabila membayar hutang, serta lemah lembut apabila menagih hutang.
Jika ditinjau sifat kejujuran
sangat indah. Rasulullah SAW menjalankan perniagaan dengan penuh jujur, amanah
dan ikhlas sehingga mampu memperdagangkan barangan jualan Khadijah dengan
keuntungan yang banyak.
Dalam hal ini, baginda mengutamakan
keredaan Allah dan mendapat keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Malah
sentiasa mengikut syariat jauh daripada segala penipuan, riba, pengurangan
dalam timbangan. (rujuk an-Nisaa': 29).
Oleh itu, penipuan dalam perniagaan
adalah salah satu sifat yang tidak jujur yang selalu dilakukan oleh mereka yang
tidak beriman. Ibadah yang ikhlas dan jujur adalah ibadah yang bersih daripada
sifat riak, ujub dan bersih daripada takbur.
No comments:
Post a Comment