MENDIDIK anak-anak dengan sifat jujur dan ikhlas sangat
penting. Ada pendapat mengatakan, kata-kata seorang yang jujur dapat dipercayai
sama dengan perjanjian bertulis yang dilakukan olehnya.
Orang yang jujur akan dihormati oleh semua pihak dan menjadi
benteng kepada keimanan. Hikmah jujur adalah ibadah yang mudah dilakukan. Ia
sebagai perhiasan daripada hati tanpa berhias, kehebatan tanpa kerajaan,
benteng tanpa pagar, kekayaan tanpa meminta daripada orang lain dan dapat
menutup segala aib.
Nabi SAW mengingatkan dalam hadisnya yang bermaksud:
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia
berkata yang baik atau diam." (riwayat Bukhari dan Muslim).
Lantaran itu, percakapan yang baik dan jujur adalah lambang
hati yang baik dan ikhlas serta bersih melambangkan akhlakul karimah.
Melalui pendidikan di rumah dan di sekolah percakapan yang baik dan jujur boleh
dilakukan bagi mendidik hati sentiasa ikhlas.
Mendidik sifat jujur mestilah melalui pendidikan hati.
Berazam setiap masa untuk berlaku jujur akan menjadikan seseorang itu bersifat
jujur.
Pengalaman daripada musibah juga akan menjadikan seseorang
itu bersifat jujur seperti pernah ditipu yang akhirnya membentuknya bersifat
jujur.
Sebagai anak pula, seseorang itu mestilah bersifat dan
berlaku jujur pada diri sendiri, sahabat, ibu bapa, kaum keluarga, guru dan
jiran tetangga.
Sifat jujur juga sangat berkait rapat dengan amanah. Melalui
percakapan dan amal perbuatan sifat jujur dapat dilihat daripada seseorang.
Nabi SAW bersabda: "Orang yang diajak bermusyawarah
(diminta pendapat) adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan
dapat menyimpan rahsia). (riwayat Ath-Thabrani).
Imam Muslim pernah berwasiat: "Seorang Muslim itu
mestilah bersifat benar dan jujur. Berkata benar sekalipun kepada dirinya
sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang."
Justeru, seorang Muslim mestilah bersifat benar dan jujur
dalam perkataan dan perlakuan.
Sifat jujur ikhlas dan suci hati itu lawannya ialah sifat
belot, pembohong, curang, dusta, helah, khianat, pecah amanah, memperdaya,
putar belit, seleweng dan tipu.
Oleh itu, jauhi sifat yang buruk itu yang boleh merosakkan
nilai diri dan akhlak seseorang.
Seseorang Muslim yang benar dan jujur akan menjurus kepada
sifat tawaduk dan merendah diri. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat-sifat
dusta dan sifat yang seumpama dengannya yang merupakan penyakit hati.
Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya
kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hingga
dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta
itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka.
Seorang lelaki yang sentiasa berdusta, sehinggalah dicatat di sisi Allah
sebagai seorang pendusta." (riwayat Muttafaqun Alaih).
Lantaran itu, selain mempamerkan sifat benar dan jujur,
seorang Muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang
lain.
Segala tingkah laku, perbuatan dan percakapan mestilah lahir
daripada hati yang tulus dan ikhlas.
Sebagai ibu bapa, mestilah mempamerkan juga sifat benar dan
jujur daripada hati sebagai teladan dan ikutan kepada anak-anak.
No comments:
Post a Comment