Masjid adalah premis yang digunakan oleh umat Islam bagi menunaikan solat Jumaat dan solat fardu, di samping pelbagai kegiatan pengimarahan masjid. - Gambar hiasan
SOLAT Jumaat yang sinonimnya dilakukan di masjid kian menjadi
tanda tanya bagi umat Islam apabila kebanyakan Jabatan Agama Islam Negeri
(JAIN) membenarkan ia diadakan di surau.
Malah, ramai yang sering keliru dan mempersoalkan mengenai
hukum permasalahan tersebut. Apatah lagi surau itu terletak berhampiran dengan
masjid yang juga diadakan solat Jumaat di dalam satu kawasan.
Bahkan, mengikut Mazhab utama yang diamalkan di negara ini
iaitu Mazhab Syafie memutuskan, tidak berlaku solat Jumaat kecuali dengan
bilangan 40 orang lelaki mukalaf yang bermastautin. Tidak sah juga solat Jumaat
dalam satu kariah (mukim) jika terdapat dua lokasi solat Jumaat yang berbeza.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini, seperti satu trend
semasa, semakin banyak surau-surau di sesuatu kawasan terutamanya di bandar
mahupun di pusat membeli belah didapati turut diadakan solat Jumaat.
Fungsi surau terus dinaik taraf sehingga hampir menyamai
fungsi masjid.
Ia secara tidak langsung memberi kesan dan mengelirukan
pegangan segelintir umat Islam di negara ini untuk mengerjakan ibadat wajib
pada setiap hari Jumaat itu dengan yakin.
Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid menjelaskan,
orang ramai tidak perlu keliru dan was-was untuk menunaikan solat di surau yang
mengadakan solat Jumaat.
Ini kerana ia di telah disepakati oleh ulama dan Majlis Fatwa
Selangor untuk membenarkannya dengan disandarkan kepada hujah tiga Mazhab lain.
Bagaimanapun katanya, ia mestilah mendapat kelulusan daripada
JAIN sebelum diadakan solat Jumaat, dan jawatankuasa surau perlu mematuhi
segala arahan yang diberikan.
"Terdapat tiga lokasi utama yang dibolehkan untuk
mengadakan solat Jumaat, iaitu masjid, surau yang dinaik taraf dan surau solat
Jumaat sementara.
"Bagi masjid memang tiada masalah dan menjadi kelaziman
kita bersolat Jumaat di masjid. Tetapi surau yang dinaik taraf serta surau
solat Jumaat sementara perlulah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa
Qaryah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.
Menurut persepakatan tersebut, antara syarat yang ditentukan
bagi menaik taraf surau untuk melakukan solat Jumaat ialah, ruang masjid di
sesuatu mukim tidak lagi mampu menampung kapasiti jemaah di sesuatu kawasan,
masjid terletak terlalu jauh daripada kawasan perkampungan dan keperluan yang
mendesak.
"Pihak Jawatankuasa Qaryah, JAIS akan melakukan siasatan
sebelum memberi kelulusan kepada surau yang memohon untuk dinaik taraf tersebut
mengikut keperluan.
"Sekiranya ia didapati perlu mengikut keperluan di
kawasan tersebut, maka tiada masalah kepada JAIS bagi membenarkan surau
tersebut untuk dinaik taraf. Tetapi ia perlulah mematuhi peraturan yang
ditetapkan JAIS," jelasnya.
Surau yang telah dinaik taraf untuk mengadakan solat Jumaat
juga menurutnya, perlulah sentiasa diimarahkan dengan aktiviti ibadah dan solat
lima waktu dan wajib membaca khutbah yang disediakan oleh JAIS.
"Surau yang diberi kelulusan naik taraf mesti mematuhi
syarat yang ditetapkan JAIS seperti sentiasa diimarahkan dengan mengerjakan
solat lima waktu. Untuk menyeragamkan bacaan khutbah, JAIS turut menyediakan
salinan teks khutbah untuk dibaca di seluruh Negeri Selangor.
"Khutbah yang disediakan itu adalah dikira paling sesuai
dengan semua peringkat umur dan tidak cenderung kepada mana-mana pihak.
"Ini kerana seramai 12 orang pakar bidang agama yang
dilantik untuk menyediakan teks khutbah tersebut dengan menjalani beberapa
tapisan lain untuk memastikan salinan khutbah itu benar-benar tiada
kesalahan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment