GAMBAR fail menunjukkan seorang kakitangan Rumah Perlindungan Haiwan dan Persatuan Kemanusiaan Santa Fe memegang Meow pada 19 April lalu.
SANTA FE, Amerika Syarikat - Seekor kucing yang menjadi
tumpuan umum kerana memiliki berat badan mencecah 18 kilogram (kg) mati akibat
komplikasi kesihatan kerana terlalu gemuk, kata pihak pengurusan sebuah rumah
perlindungan haiwan kelmarin.
Kucing jantan bernama Meow, berusia antara dua hingga lima
tahun itu dihantar untuk tinggal di Rumah Perlindungan Haiwan dan Persatuan
Kemanusiaan Santa Fe pada bulan lalu selepas pemiliknya yang berusia 87 tahun
tidak lagi berupaya menjaga haiwan tersebut.
Meow kemudian menjalani terapi diet dengan perkembangan
kucing itu disiarkan di laman Facebook.
Pengarah rumah perlindungan berkenaan, Mary Martin
memberitahu kelmarin bahawa berat Meow turun 0.9 kilogram dan kucing tersebut
berada dalam keadaan baik tetapi pada Rabu lalu ia mula mengalami masalah
pernafasan.
Kucing itu menjalani beberapa ujian termasuk ujian jantung
dan X-ray serta diberikan bantuan oksigen untuk bernafas.
Namun, Meow akhirnya mati pada Sabtu lalu.
"Kami semua terkejut dan sedih dengan kematian
Meow," kata Martin.
Punca berat badan Meow meningkat masih tidak dapat dipastikan
tetapi menurut Martin, kucing itu mungkin diberikan makanan berkalori tinggi
dan tidak aktif.
Kucing dewasa biasanya memiliki berat antara 3 hingga 5kg. -
AGENSI
No comments:
Post a Comment