Planet Marikh.
WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah
terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi
jurnal Science kelmarin.
Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan
lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di
Pulau Besar, Hawaii.
Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat
berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.
Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri
Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas
lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.
Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran
Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan
bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan
tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan
air.
"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang
terdapat di Bumi.
"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan
imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.
Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip
Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka
percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment