DALAM menghadapi kerenah hidup dan cabaran semasa, para
remaja sering berdepan dengan cabaran emosi dan nafsu-nafsi. Kadang-kadang
remaja tidak memiliki kekuatan untuk bertahan daripada godaan itu.
Ia akibat daripada lemahnya hati dan jiwa menghadapi cabaran
yang menggugat kekuatan dalaman.
Rasulullah SAW menghubungkan pada diri manusia ada seketul
daging. Jika baik daging itu ditarbiah, maka baiklah sahsiah yang ada pada diri
seseorang. Ini dihubungkan sebagai pemerkasaan hati.
Hati atau dalam rujukan biasa sebagai jantung tidak sahaja
sifatnya fizikal tetapi pada hati itu terdapat sumber tenaga yang memberi
kekuatan kepada kestabilan emosi dan jiwa.
Apabila pemerkasaan akal fikir berlaku, maka akal fikir mampu
menghasilkan maklumat yang benar dan bermanfaat . Ia menyerap ke dalam hati
yang fitrahnya mempunyai upaya menyaring untuk menyeimbangkan ilmu maklumat dan
kebenaran.
Apabila penyerapan itu terjadi, ia dimanifestasikan dalam
bentuk amal dan menyebabkan manifestasi amal terpedoman dan terbimbing.
Memperkasa kekuatan hati terhubung dengan nilai dan etika.
Amanah, adil, jujur, tulus dan telus umpamanya berkait rapat dengan Allah.
Apabila para remaja menghubungkan sifat-sifat murni manusia
dengan kekuatan ihsan kepada Allah, ia menjadi punca memahami maksud
nilai-nilai yang fitrah itu dan menyebabkan sesuatu itu terjadi kerana-Nya.
Apabila pedoman Ilahi dijadikan sandaran dalam melakukan apa
sahaja, maka konsep hablumminallah terjadi dan maksud hablumminnas berlaku.
Amalan-amalan yang bersifat ruhiyah menghubungkan faktor
Ilahi dan faktor manusiawi.
Apabila ini terjadi, berlakulah talian ihsan dan insan dan
jika diamalkan dalam kehidupan tidak sahaja talian Allah itu menjadi pedoman
terbaik, tetapi juga hikmah kebaikan akan pulang kepada manusia.
Remaja dalam proses tazkiyah annafs atau pembersihan hati dan
jiwa, dengan membangunkan jiwa rukuk dan sujud (solat) dan ruhus solat
membangun jiwa tunduk, taat patuh dan akur.
Sifat-sifat kehambaan ini adalah penting untuk remaja memahami
maksud keteraturan dan adab supaya disiplin akal hati dan amal berlaku dalam
titik keseimbangan yang membentuk watak dan gelagat.
Memperkasa hati dan jiwa menerusi tarbiyah ruhiyah amat
penting bagi remaja. Tanpanya, para remaja akan terdedah dengan nafsu amarah
bisu atau sifat-sifat mazmumah yang boleh menyebabkan rasa keegoan diri
terserlah.
Gelagat nafsu-nafsi menjadi serakah dan akhirnya menjebak
diri remaja kepada kerosakan dan kemusnahan.
Amat penting para remaja memiliki kekuatan hati dan jiwa yang
terhubung dengan faktor Pencipta supaya sumber petunjuk daripada Allah iaitu
al-Quran sentiasa dijadikan pedoman dan sumber amal daripada Rasulullah
dijadikan qudwah dan sumber ikutan.
Hal ini amat penting dimiliki oleh para remaja sejak awal
umur lagi supaya wujud pembiasaan, pemahaman dan juga amalan yang sentiasa
mengambil pertimbangan syarak sebagai sandaran.
Pada hari ini kedapatan simpang siur aliran pemikiran dan
juga kefahaman yang tidak berkembang dalam acuan yang fitrah.
Sebaliknya fahaman neo-liberalisme yang menuntut kebebasan
mutlak dan melakukan sesuatu di luar fitrah insan menyebabkan kecenderungan
anarki (disorderly) berlaku.
Bina hati yang fitrah
Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melampaui
faktor fitrah dan syarak. Kisah kaum Nabi Lut as adalah bukti nyata yang
dikisahkan dalam al-Quran untuk dijadikan pedoman manusia apabila aksi melampau
yang tidak fitrah sifatnya menyebabkan musibah Allah terjadi.
Kisah lalu itu harus dijadikan ibrah atau sumber teladan
kepada remaja tentang betapa pentingnya pemerkasaan fikir dan hati ini menjadi
landasan yang fitrah dalam amalan dan perbuatan.
Jika tidak, faktor nafsu-nafsi dan kecenderungan anarki bakal
mengambil tempat. Ia bakal merosakkan hubungan remaja dengan pencipta dan menyebabkan
aliran pemikiran yang bersifat anarki berkembang.
Sebab itu Islam menekankan kepentingan binaan akhlak sebagai
sesuatu yang paling utama. Akhlak Islami merujuk kepada keupayaan
mendisiplinkan fikir dan mendisiplinkan hati supaya faktor fikir dan zikir
bertaut dalam satu titik yang lebih harmoni bagi mencetuskan hikmah yang
terbaik kepada manusia.
No comments:
Post a Comment