KUALA LUMPUR
- Penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat akan terus bersama Kelantan
apabila menyambung kontrak selama tiga tahun lagi, semalam.
Perkara
tersebut disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar
Musa yang memberitahu bahawa Khairul Fahmi atau lebih mesra disapa sebagai
'Apek' telah menandatangani kontrak baru, semalam.
Jadi
katanya, barisan pemain pasukan Kelantan yang menjuarai Liga Super musim ini
akan kekal dan mungkin ada beberapa penambahan untuk memperkuatkan posisi
tertentu.
"Apabila
habis musim, banyak spekulasi perpindahan dalam kalangan pemain Kelantan
terutamanya Khairul Fahmi.
"Memang
diakui bahawa kontrak Khairul Fahmi bersama Kelantan akan tamat hujung tahun
ini.
"Bagaimanapun
saya ingin mengumumkan di sini bahawa kami telah mengadakan rundingan dan
beliau (Khairul Fahmi) telah menandatangani kontrak baru selama tiga tahun. Ini
bermaksud Khairul Fahmi akan bersama Kelantan untuk musim akan datang dan
seterusnya," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian
Sumbangan Bersama Ikon Sukarelawan Kebajikan, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)
iaitu pasukan Kelantan.
Sementara
itu, ketika ditanya mengenai keputusan perlawanan persahabatan kelmarin yang
menyaksikan Kelantan dibelasah 5-0 oleh pasukan daripada Liga Perdana Inggeris,
Queens Park Rangers (QPR), Annuar memberitahu beliau tidak lena tidur.
Katanya,
beliau tidak pernah melihat Kelantan ditewaskan dengan jumlah jaringan begitu
besar tetapi mengakui perlu menerima realiti jurang perbezaan antara QPR dengan
pasukannya itu.
"Kita
perlu juga terima bahawa kita tewas kepada pasukan daripada salah satu liga
terbaik dunia. Itu kita kena akui dan ia boleh menjadi pengalaman berguna
kepada kita.
"Separuh
masa pertama kita bermain dengan baik walaupun melepaskan satu gol tetapi
apabila kita menukar banyak pemain pada separuh masa kedua, keserasian itu
tidak ada menyebabkan kita dibolosi dengan empat gol," jelasnya.
Bagaimanapun,
Annuar memberitahu perlawanan seperti itu perlu diperbanyakkan bagi memberi
pendedahan kepada pemain bola sepak tempatan.
No comments:
Post a Comment