SYDNEY, Australia - Rangkaian makanan segera Kentucky Fried
Chicken (KFC) diperintah oleh sebuah mahkamah Australia supaya membayar ganti
rugi sebanyak AS$8.3 juta (RM25.26 juta) kepada keluarga seorang gadis yang
lumpuh kerana kerosakan otak selepas dia memakan hidangan KFC yang tercemar.
Ketika kejadian itu berlaku pada tahun 2005, gadis tersebut,
Monika Samaan berusia tujuh tahun.
Samaan, ibu bapa dan saudara lelakinya terpaksa dirawat di
sebuah hospital kerana keracunan bakteria salmonella selepas mereka memakan
hidangan Twister ayam di sebuah restoran KFC dekat sini.
KFC yang dimiliki oleh Yum! Brands dalam satu kenyataan menyifatkan
kes itu sebagai tragis tetapi ia kecewa dan terkejut dengan keputusan itu.
Kenyataan yang sama menyatakan KFC akan membuat rayuan
berhubung keputusan berkenaan.
Pada minggu lalu, seorang hakim Mahkamah Agung New South
Wales memihak kepada keluarga Samaan dengan menyatakan, KFC telah melanggar
tanggungjawab untuk menyediakan penjagaan kepadanya.
Hakim itu kemudian mengumumkan RM25.26 juta sebagai bayaran
ganti rugi dan kos perbicaraan tersebut.
Media Australia memetik peguam gadis tersebut, George
Vlahakis sebagai berkata, kos rawatan Samaan yang tinggi menyebabkan
keluarganya ditimpa masalah kewangan.
"Pampasan itu amat di perlukan oleh mereka," kata
Vlahakis. - Reuters
No comments:
Post a Comment