SEBAHAGIAN pelanggan mengerumuni di
kedai menjual iPad di Shanghai.
BEIJING -
Apple mula menjual komputer tablet iPad versi terbaharunya di China semalam
selepas kes saman berhubung hak milik nama firma berkenaan selesai.
Syarikat
yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) itu meminta pembeli membuat
pesanan awal bagi mengelakkan mereka terpaksa berasak-asak untuk membeli
komputer tersebut.
Dengan
dipantau pengawal keselamatan, puluhan pembeli menunggu di luar beberapa kedai
Apple di sini dan di bandar raya Shanghai yang mula dibuka pada pukul 8 pagi.
Suasana itu
berbeza berbanding situasi kelam-kabut di luar kedai utama Apple di sini pada
Januari lalu apabila sebilangan pelanggan yang mahu membeli iPhone baharu,
menjerit dan membaling telur selepas beberapa pengurus menangguhkan untuk
membuka kedai berkenaan.
Tindakan itu
dibuat kerana kedai berkenaan tidak dapat menampung kehadiran ratusan
pengunjung di luar premis berkenaan.
Seorang
juruteknik berusia 32 tahun yang menjadi pelanggan pertama kedai Apple di
Shanghai, Sun Xufei berkata, dia menangguhkan untuk membeli komputer tablet itu
sebelum ini bagi memberikan masa untuk Apple menghasilkan sebuah iPad yang
sempurna.
Terdapat
seramai 30 pelanggan di luar kedai berkenaan dengan jumlah mereka lebih kecil
berbanding kumpulan wartawan yang membuat liputan di lokasi tersebut.
"Saya
amat terkejut kerana tiada pelanggan yang menunggu," kata Xufei.
Apple Inc.
melepasi halangan perundangan untuk menjual iPad di China apabila pihaknya
membayar AS$60 juta (RM191 juta) bagi menyelesaikan pertelingkahan dengan firma
tempatan, Shenzhen Proview Technology Ltd. berhubung hak milik nama iPad.
Apple
menyatakan, pihaknya telah membeli hak global untuk nama iPad daripada Proview
pada 2009 tetapi pemerintah China memberitahu, hak tersebut tidak pernah
dipindah milik di China.
China
merupakan pasaran kedua terbesar Apple selepas AS. - Agensi
No comments:
Post a Comment