NABI SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga
adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan
permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.
Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang
dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan
kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.
Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan
bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang
dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak
berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang
sebenar.
Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan
dalam al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan
sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.
Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga
perlu mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan
doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan dan
permohonan kita.
Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang
dimuliakan Allah SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan
Ramadan lebih mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari
paling mulia berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain
tidak mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding
yang lain.
Antara waktu-waktu yang
dimustajabkan doa ialah;
Akhir satu pertiga malam:
Akhir waktu sepertiga malam adalah waktu yang paling terbaik
untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah SWT. Pada detik dan saat ini,
biasanya suasana lebih tenang dan damai, memudahkan sang hamba untuk memberikan
fokus dan perhatian kepada pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT.
Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang
bangun di tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa
tidurnya semata-mata kerana Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu
sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku,
maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan
daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa:
Waktu ini terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya
mengharungi lebih kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT.
Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab
kerana ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan
keinginannya kerana Allah SWT.
Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa,
Allah SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk
dimakbulkan.
Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat
ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)
Ketika selesai menunaikan solat fardu:
Ketika seseorang itu menunaikan solat, dia sebenarnya sedang
bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti
dan manifestasi kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT.
Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak
sepatutnya dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT.
Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah
ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW
menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat
fardu." (sunan At-Tirmidzi)
Hari Jumaat:
Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu penghulu segala
hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.
Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga.
Pada detik itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun,
detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba Muslim
solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan diberikan
padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut.
(riwayat al-Bukhari)
Antara azan dan iqamah:
Azan dan iqamah adalah panggilan untuk mendirikan solat. Pada
waktu ini umat Islam akan meninggalkan urusan sehariannya dan akan menumpukan
kepada solatnya.
Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu
Daud, Tirmidzi dan Baihaqi)
Ketika sujud:
Ketika sedang sujud, seorang hamba akan meletakkan kepala dan
wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini adalah merupakan satu bentuk
pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang sangat lemah, miskin dan hina. Sifat
merendahkan diri ini sangat penting untuk merasakan kebesaran dan keagungan
Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika
waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu
sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)
Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat
dimustajabkan doa seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya.
Namun, yang paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan
dalam diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.
yg antara azan & iqamah tu sy baru tau. tq info. :)
ReplyDeleteiya, azan dan iqamah pon waktu mustajab juga..masa tu boleh berdoa serta merta..sama2..:-)
Delete