BISEP Moustafa berukuran hampir 79
sentimeter menyebabkan dia kelihatan seperti Popeye (gambar kecil).
BOSTON:
Seorang ahli bina badan kelahiran Mesir diiktiraf memiliki bisep terbesar di
dunia dengan ukuran 78.7 sentimeter, lapor media semalam.
Moustafa
Ismail, 24, menghabiskan masa selama 10 tahun untuk berlatih mengangkat berat
dua kali sehari bagi membentuk otot di pangkal lengannya.
Disiplin itu
membolehkan Moustafa memiliki bisep yang sama besarnya dengan ukur lilit pinggang
lelaki dewasa.
Walaupun fizikalnya seperti watak kartun Popeya, Moustafa mengaku dia tidak gemar sayur bayam, sebaliknya dia memakan sehingga 1.5 kilogram ayam, 0.5 kilogram daging atau ikan dan empat cawan almond bersama sembilan liter air dan tiga liter bancuhan protein.
MODEL, Jessica Jerrard, diangkat
Moustafa sempena pelancaran Buku Rekod Guinness di London, semalam.
Disebabkan
komited dengan aktiviti bina badan, Moustafa membawa semua ahli keluarganya
berpindah ke Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan dia menggunakan peralatan
lebih baik.
Kata Moustafa, ramai mendakwa mereka terkenang kepada Popeye setiap kali
melihatnya.
“Saya hanya ketawa dan berpendapat, lengan saya lebih besar daripada Popeye,”
katanya.
Moustafa berkata, dia memulakan aktiviti bina badan 10 tahun lalu dalam
usahanya mengekalkan kecergasan.
Selepas sering mengunjungi gimnasium, katanya, dia menerima banyak pujian
mengenai bisepnya.
“Justeru, saya menumpukan aktiviti latihan kepada bisep dan membentuknya
menjadi lebih besar,” katanya.
Lima tahun lalu Moustafa gagal dipilih menyertai pasukan bina badan Mesir.
Kegagalan itu mendorong dia berhijrah ke AS.
Walaupun mengakui mengambil bancuhan protein untuk membentuk badannya, Moustafa
berkata, keupayaannya itu juga dipengaruhi genetik bapanya - seorang ahli gusti
Mesir.
Setiap hari, Moustafa berlatih dari jam 5 pagi hingga 8 pagi dengan tumpuan
diberikan kekuatan jantung serta pembentukan fizikal.
Jika tidak berada di gimnasium, Moustafa menguruskan dua stesen minyak miliknya
di Massachusetts.
Kata Moustafa, latihan fizikal membolehkan dia fokus dalam setiap apa yang
dilakukan.
“Pada masa sama, anda boleh melihat bagaimana fizikal anda berubah,” katanya.
Bisep Moustafa kini disahkan sebagai paling besar dan namanya muncul dalam Buku
Rekod Dunia Guinness 2013 yang dilancarkan di London, semalam. - DM
No comments:
Post a Comment