expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, 14 October 2012

Ais Artik semakin 'menghilang'



Pemanasan global telah menyebabkan semakin banyak ais di Artik mencair dan kehilangannya menyebabkan suhu bumi semakin tinggi saban tahun.




















AIS Artik yang semakin lenyap juga memberi ancaman kepada habitat kutub yang tinggal di situ.


KEHILANGAN ais di Artik menyebabkan kesan pemanasan global meningkat dua kali lebih pantas. 


Ais putih sepatutnya bertindak seperti payung yang memantulkan semula cahaya dan haba matahari berbanding permukaan air yang menyerap dan seterusnya memanaskan bumi. Malangnya, kini peratusan ais yang tinggal telah menurun kepada angka paling rendah dalam sejarah.


Saintis ais, Profesor Peter Wadhams dalam temu bual dengan program Newsnight terbitan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berkata, pengiraan yang dibuat menunjukkan permukaan air terbuka di laut lepas menyerap cahaya matahari dalam kadar yang 'bersamaan dengan kira-kira 20 tahun pertambahan karbon dioksida oleh manusia'.


Pakar dari Universiti Cambridge itu berkata, ais Artik kini semakin lenyap, seumpama spesies yang pupus. 


Pada sekitar tahun 1980, jumlah ais Artik pada musim panas merangkumi dua peratus daripada permukaan bumi, namun sekarang ia tinggal separuh dan isipadu ais telah menjunam kepada satu per empat daripada asal.


"Isipadu ais pada musim panas kini tinggal suku daripada keadaan 30 tahun dahulu dan ia merupakan permulaan kepada kemusnahan terakhir," kata Wadhams.


Menurutnya, peranan sebagai 'payung besar' yang dimainkan kawasan kutub utara itu dipanggil kesan albedo. Ia memantulkan cahaya matahari ke atmosfera dalam.


Oleh kerana kekurangan permukaan salji dan ais putih yang sepatutnya bertindak demikian, bumi kini menerima kesan buruknya kerana sinaran yang patut dipantul keluar kini diserap permukaan air sekali gus menyumbang kepada kenaikan suhu bumi.
















SELAMA ini, ais di kutub membantu kestabilan suhu dunia tanpa kita sedari.


Suhu panas


Sebahagian Lautan Artik kini mempunyai kepanasan seperti musim panas di Laut Utara walhal ia berada dalam zon sejuk.


Apa yang berlaku kemungkinan besar menimbulkan kesan 'menyakitkan' kepada United Kingdom, kata Adam Scaife dari Pejabat Meteorologi Hadley Centre kepada Newsnight dengan menyifatkan ia turut berkait dengan musim panas yang sentiasa hujan.


"Beberapa kajian menunjukkan terdapat peningkatan risiko musim panas lembap dan bertekanan rendah di United Kingdom dengan keadaan ais yang semakin cair.


"Malah, musim sejuk juga semakin kurang sejuk dan kurang salji," katanya lagi.


Pelbagai pendapat dikeluarkan mengenai nasib kawasan ais di Artik, namun Pejabat Meteorologi beranggapan ia tidak akan cair sepenuhnya pada musim panas sehinggalah tahun 2030.


Sementara itu, Polis Rusia menahan seramai 10 aktivis Greenpeace yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat syarikat gergasi minyak Rusia, Gazprom baru-baru ini.


Tindakan itu dilakukan selepas pihak berkuasa mendapat laporan mengenai kejadian tunjuk perasaan bagi membantah kerja-kerja penggerudian minyak di kawasan Artik yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.




















AIS yang mencair tidak lagi boleh bertindak sebagai pemantul cahaya dan haba matahari.


Bantahan


Kordinator Greenpeace Rusia bagi kempen Artik, Roman Dolgov berkata, bantahan itu berakhir tidak lama kemudian selepas kehadiran pihak berkuasa.


"Seramai 10 aktivis telah ditahan berhubung insiden berkenaan," katanya.


Dalam kejadian itu, para aktivis yang berpakaian kostum beruang kutub itu mengecam Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller dengan membawa sepanduk, 'Miller, syarikat kamu telah membunuh Artik'.


Ada di antara aktivis tersebut yang lebih berani merantai diri sambil membuat tembok manusia bagi menghalang laluan masuk ke ibu pejabat sambil membawa sepanduk berbunyi: 'Gazprom telah memusnahkan Artik'.


Sementara itu, jurucakap Greenpeace, Vera Bakasheva berkata, enam aktivis dari Rusia yang ditahan telah dibawa ke mahkamah dan didakwa kerana kesalahan melanggar peraturan kerana menganjurkan tunjuk perasaan. 


Terdahulu, seorang aktivis dari Poland, Piotr Dankowski memberitahu bahawa dia sanggup datang dari Warsaw kerana tidak mahu ketinggalan menyertai tunjuk perasaan itu.


Katanya, dia tidak terkejut sekiranya ditahan pihak berkuasa disebabkan tindakannya merantai diri bagi membentuk tembok manusia.


"Ia merupakan tunjuk perasaan secara aman. Namun di Rusia kamu tidak boleh membuat tunjuk perasaan seperti ini dan tidak ditahan," katanya.


Greenpeace merupakan pertubuhan alam sekitar antarabangsa sebelum ini aktif mengadakan kempen menentang rancangan aktiviti cari gali minyak di kawasan Artik yang dikaitkan dengan Gazprom.


Dolgov memberitahu, dalam tunjuk perasaan itu aktivis-aktivis dari Austria, Jerman, Hungary, Poland dan Rusia berkumpul dan mengadakan sekatan di luar ibu pejabat Gazprom selama sejam sambil melaungkan bantahan 'Selamatkan Artik'.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com