expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 10 January 2013

Fikir dulu sebelum elak sarapan





SEBELUM mengeluh terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk bersarapan, ingatlah pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Seperti mana ibu dan ayah juga datuk dan nenek berleter mengingatkan kita supaya bangun awal untuk bersarapan, sarapan sememangnya sajian paling penting seharian. 

Memang tidak dapat dinafikan, bersarapan ibarat mengisi tangki minyak kereta yang kosong sebelum kita boleh memandu. Hakikatnya, keburukan tidak mengambil sarapan lebih serius daripada yang disangka. 


Syarikat penyelidikan terkenal di Amerika Syarikat (AS), NPD Group, melaporkan dalam kajian Morning MealScape 2011 bahawa seorang dalam 10 (ini bersamaan kira-kira 31 juta orang) di AS tidak mengambil sarapan yang mana lelaki dewasa berumur antara 18 hingga 34 tahun membentuk peratusan paling tinggi. 


Sarapan memberikan tenaga untuk kita menggerakkan badan, membantu memulakan hari dengan ceria serta menentukan prestasi sepanjang hari. 


Jika tidak mengambil sarapan, kita akan kekurangan tenaga dan daya tumpuan sekali gus menyebabkan kita mudah naik angin dan cepat merengus. 


Alasan dinyatakan di bawah sering kita dengar di kalangan mereka yang mengabaikan sarapan. Berikut disertakan cadangan untuk mengatasinya: 




1. Saya tidak ada masa untuk bersarapan


Dalam kesibukan mengejar masa bergegas ke tempat kerja pada waktu pagi, bukan saja hendak menyediakan sarapan, mahu duduk untuk makan pun tiada masa. 


Cadangan: Makan dalam perjalanan ke tempat kerja. Simpan stok makanan ‘senang dibawa’ di dapur. Anda juga boleh lalu di tempat yang ada menjual sarapan dan membelinya dalam perjalanan ke tempat kerja.





2. Saya sentiasa lewat sampai ke tempat kerja


Dalam kesibukan setiap hari terutama jika anda bekerja di ibu kota, kelewatan bangun walaupun 10 minit boleh menyebabkan anda lewat satu jam ke tempat kerja. 


Cadangan: Tidur setengah jam lebih awal dan bangun setengah jam lebih awal supaya anda ada sedikit masa untuk bersarapan. Ini juga membolehkan anda memulakan hari anda dengan lebih tenang dan tidak perlu tergopoh-gapah dari saat anda mencelikkan mata.






3. Saya jaga diet


Ramai orang menyangkakan mereka tidak patut bersarapan untuk mengurangkan kalori! 


Mengabaikan sarapan menyebabkan anda mungkin sukar mencapai matlamat menurunkan berat badan kerana ia hanya membuatkan anda lebih lapar dan lebih cenderung mengambil makanan dan snek tidak menyihatkan. 


Ini juga sering menjerat diri sendiri kerana anda akan makan lebih pada waktu makan tengah hari. 


Cadangan: Ambil sarapan yang bukan saja sihat, berkhasiat dan disediakan segar, tetapi juga mengenyangkan, membekalkan nutrien dan membolehkan anda bertahan hingga waktu makan tengah hari.




4. Saya tidak ada selera untuk makan atau minum pagi-pagi buta


Alasan ini tidak berasas kerana daripada segi psikologi, badan meminta makanan untuk membolehkan anda bergerak cergas. Anda baru saja bangun daripada tidur selama lapan jam tanpa makanan. 


Bayangkan apa yang anda akan lalui jika tidak makan dan minum selama lapan jam lagi. Sudah tentu perut anda berkeroncong menyebabkan anda merengus dan cepat naik angin! 


Cadangan: Ketahui dan fahami kepentingan bersarapan. Anda perlu mendapat tenaga melalui sarapan diperlukan badan dan otak sepanjang hari.




5. Saya tidak ada mood hendak masak atau menyediakan apa-apa makanan pada awal pagi


Perasaan ini memang boleh difahami kerana selepas dikejutkan oleh deringan kuat bunyi jam, anda tentu malas hendak ke dapur apatah lagi memasak atau menyediakan sarapan. 


Malah, ada antara anda yang mungkin tidak kuasa membuka almari di dapur atau peti sejuk untuk mengeluarkan makanan, kemudian membasuh pinggan mangkuk dan cawan selepas sarapan. 


Cadangan: Jangan sepahkan dapur. Anda boleh terus mengunjungi kedai untuk membeli sarapan. 


Pada zaman serba moden ini, memang tidak susah untuk bersarapan. Tiada masalah yang tidak dapat diatasi. 


Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Anda hanya perlu menguatkan hati dan membulatkan tekad, mengubah sikap dan menyedari pentingnya sarapan sebagai makanan pertama untuk memulakan hari anda.




Sarapan yang baru disediakan bukan saja menyelerakan dan seronok dimakan, tetapi juga membekalkan tenaga kepada badan. Ia meningkatkan metabolisme badan dan seterusnya membantu untuk membakar lebih banyak kalori. 


Selain membantu menguruskan berat badan, hasil kajian baru-baru ini juga menunjukkan sarapan yang sihat sedikit sebanyak membantu mengurangkan faktor risiko sakit jantung dan diabetes yang ada kaitan dengan tahap kolesterol dan insulin darah. 


Petua orang tua-tua, satu daripada rahsia kekal sihat ialah jangan lupa mengambil sarapan. Petua dan tabiat ini patut disemai dan diamalkan setiap pagi. 


Justeru, walau sesibuk mana anda tergopoh-gapah setiap pagi meredah kesesakan lalu-lintas atau menghantar anak ke sekolah, luangkan masa mengambil sarapan biarpun ini bermakna anda mengorbankan 15 minit terakhir masa tidur anda kerana ganjarannya tidak ternilai.

2 comments:

  1. sy mmg x skip bekfes.. sbb smpi je opips, trus g beli.. cume kdg2 tu jemu gak. nk masak, cm x sempat.. heheh

    ReplyDelete
  2. bagus la selalu breakfast..tu yg kita nak..jemu tukar menu lain aizu..masakan melayu banyak menu..masakan barat pun sama

    ReplyDelete

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com