SEBELUM ini anda mungkin sering mendengar bahawa protein
adalah nutrien yang penting dan bermanfaat untuk kesihatan anak anda. Namun,
tahukah anda bagaimana ia membantu pertumbuhan dan perkembangan?
Protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai
fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu mata anak anda untuk melihat, mengecutkan
otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan anak anda menjadi aktif
dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan.
Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak anda tidak akan mempunyai
strukturnya.
Peranan penting protein
* Menggantikan sel-sel dan tisu yang mati atau rosak.
* Mengawal proses badan (sesetengah hormon tetapi bukan
semuanya adalah protein).
* Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair badan.
* Mengangkut bahan-bahan seperti lipid, vitamin, mineral dan
oksigen ke seluruh badan.
*Melindungi badan terhadap penyakit melalui antibodi dan
menguatkan sistem imun badan.
Sumber protein
Protein dalam diet kita boleh didapati daripada dua sumber
utama iaitu protein haiwan (contohnya susu, telur, daging dan ikan) dan protein
tumbuhan (contohnya bijirin, kacang, kekacang dan produk soya). Protein haiwan
adalah lebih lengkap secara biologi daripada protein tumbuhan kerana protein
haiwan mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh badan.
Walaupun protein tumbuhan adalah protein yang tidak lengkap, ia adalah
pengganti yang baik untuk daging atau protein haiwan. Tambahan pula, jika dua
protein tumbuhan seperti kekacang dan bijian atau kekacang dan kacang/biji
dicampur bersama, ia akan saling melengkapi dan membekalkan semua asid amino
penting yang diperlukan untuk seseorang individu.
Panduan Diet Malaysia
telah mengesyorkan bahawa anda:
1) Berikan anak anda ikan dengan lebih kerap, setiap hari
jika boleh. Untuk mencapai matlamat ini, berikan anak anda satu hidangan ikan
sehari. Kurangkan pengambilan kerang-kerangan berbanding dengan ikan.
2) Tingkatkan pengambilan susu dan produk tenusu anak anda.
Susu bukan sahaja merupakan sumber protein yang penting, ia juga sumber yang
kaya dengan kalsium dan vitamin. Satu gelas susu segar (250ml) mengandungi
kira-kira 8.5 gram protein. Tambahkan susu yang kurang gula dalam oat dan
bijirin anak anda. Yogurt dan keju juga merupakan sumber produk tenusu yang
baik.
3) Berikan anak anda daging, ayam dan telur secara sederhana.
Pilih pelbagai jenis daging dan gunakan kaedah yang berlainan untuk memasak
hidangan ini. Berikan anak anda makan telur dalam jumlah yang sederhana,
sebanyak sebiji telur sehari secara puratanya (sendirian atau dalam masakan).
Elakkan daripada memberi telur putih kepada anak anda yang berumur 1 tahun atau
ke bawah.
4) Amalkan cara memasak yang lebih sihat untuk ikan, daging,
ayam dan telur. Kaedah memasak yang disyorkan termasuk mengukus, merebus,
merenih, memanggang dan membakar. Lebihkan mengguna herba, rempah dan limau
nipis atau lemon untuk menambah perisa kepada hidangan-hidangan ini daripada
menggunakan garam atau sos pekat.
5) Pilih daging dan ayam yang rendah lemak dan kolesterol.
Kurangkan pengambilan lemak tepu dengan memilih potongan daging dan ayam tanpa
lemak. Buang kulit ayam dan lemak daging yang boleh kelihatan sebelum memasak.
6) Berikan anak anda kekacang setiap hari dan masukkan kacang
dan bijian dalam dietnya setiap minggu. Kekacang seperti kacang pea, kacang
dhal, kacang kuda, kacang soya dan kacang tanah mengandungi banyak protein
dalam bijinya. Pilih pelbagai jenis kekacang serta produknya seperti tempe dan tofu
untuk menyediakan makanan. Tambahkan kekacang dalam sup dan hidangan anak anda.
Tambahkan kacang sebagai snek atau dalam hidangan utama seperti dalam sayuran
tumis.
Berapa banyak protein
yang anak anda perlukan?
Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI),
jumlah pengambilan protein yang disyorkan untuk kanak-kanak berumur di antara 1
hingga 6 tahun ialah 17 hingga 23 gram setiap hari. Kanak-kanak di antara umur
7 hingga 12 tahun memerlukan kira-kira 32 hingga 46 gram protein setiap hari.
Keseimbangan
Walaupun protein adalah sangat penting dalam diet anak anda,
anda perlu ingat bahawa keseimbangan nutrien (contohnya karbohidrat, lemak,
vitamin, mineral dan protein) adalah penting untuk semua orang, terutamanya
bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Untuk membina kekuatan, sel otot anak
anda memerlukan aktiviti fizikal dan kesemua nutrien yang penting. Jika terlalu
mengutamakan protein, anda mungkin tertinggal makanan dan nutrien lain yang
juga sama penting.
Terlalu banyak atau terlalu sedikit dalam apa-apa jua perkara
adalah tidak baik. Amalkan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam
menyediakan makanan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang baik.
Artikel ini adalah sumbangan Program Positive Parenting oleh
Persatuan Pediatrik Malaysia dan disokong oleh geran pendidikan daripada Wyeth
Malaysia Sdn. Bhd. Semua pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah
pandangan penulis. Sila layari laman web www.mypositiveparenting.org
Hehe.. iha suka makanan yg ada protein ni.. susu yang paling suka sekali.. walaupun kalsium yg ada tak dapat serap dalam badan tapi iha minum jugak.. :)
ReplyDeleteseribupilihan pon suka minum susu..sebab dah biasa kot minum..rasa sedap..klu orang lain mesti tak suka minum susu kan..:-)
Delete