GAMBAR yang dirakamkan
pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet
Marikh.
LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu
objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas
kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian.
Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para
penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik
itu.
Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin
sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan.
Objek tersebut mungkin sejenis mineral.
Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna
cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan
plastik.
Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan
robotik itu.
Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba
di planet tersebut pada 6 Ogos lalu.
Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak
AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion). - Agensi
No comments:
Post a Comment