expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 14 January 2013

Banyak bertaubat dan mengingati Allah





JANGAN merasakan diri masih muda, kuat dan bertenaga mampu hidup hingga mencapai usia tua kerana barangkali esok, lusa atau lebih cepat dari itu, Allah boleh ‘menjemput’ kita.


Selagi masih diberi kesempatan hidup di dunia ini, bertaubatlah dan kembali taat kepada perintah Allah. Lakukan kewajipan dan jauhi maksiat.


Jangan sia-siakan masa dan lakukan amal kebaikan sebanyak mungkin. Sebahagian ulama mengatakan ada empat sebab suul khatimah (pengakhiran yang buruk) iaitu; mengabaikan solat, minum khamr (arak), derhaka kepada ibu bapa dan menyakiti kaum Muslim.


Bayangkan kita ‘dijemput’ Allah, ketika sedang berseronok dalam dunia yang melalaikan. Nauzubillah! Andai kata masa itu kita boleh merayu, menangis, merintih atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali, semuanya tiada guna lagi.



USUNG...saat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan perlu diinsafi kerana detik itu juga bakal kita tempuhi pada bila-bila masa.


Sesudah mati, bercerailah roh dari badan. Namun, kematian sebenarnya bukan penamat kepada kehidupan kerana alam barzakh hanya tempat ‘persinggahan’ sebelum dibangkitkan ke mahsyar untuk menghadapi kehidupan kekal abadi.


Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. 


Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran ayat 185)


Perasaan takut kepada kematian pastinya akan menyelubungi mereka yang belum bersedia dengan bekalan akhirat. 




INGAT MATI...mereka yang banyak mengingati mati sentiasa menyedari Allah Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya pada setiap masa.


Islam menganjur umatnya mengingati mati dengan cara melihat proses penyempurnaan jenazah seperti memandikan, mengkafankan serta menghantar jenazah ke kubur selain menziarahi orang sakit. 


Mengingati mati pastinya menimbulkan keinsafan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Dari situ, kita akan sentiasa berusaha melakukan lebih banyak amal kebajikan serta mengabdikan diri kepada Allah.


Berbeza dengan ‘bercita-cita’ hendak mati. Perkara itu boleh membawa kepada putus asa, tidak reda dan sabar menerima ujian malah membawa perkara yang ditegah syarak iaitu membunuh diri.


Kita perlu menjadi orang terbaik di dalam masyarakat dengan memanfaatkan segala harta, tenaga atau ilmu yang ada ke jalan Allah.


Amalan bertaubat perlu sentiasa ditekankan dalam kehidupan seharian.


Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan.” (Riwayat Ahmad)


Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, memang wujud sebahagian manusia yang merasakan kematian itu pengakhiran kepada kehidupan dan terhentinya perjalanan manusia.


“Tidak ada kehidupan dan juga kebangkitan lagi selepas itu dan bagi mereka kematian adalah kehancuran. Allah SWT menjelaskan kehidupan dunia ini adalah sebagai tempat untuk manusia (khususnya yang beragama Islam) mencari bekalan ke alam selepas kematian. 


“Kehidupan dunia bukanlah kenikmatan kerana ia terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Allah mengingatkan manusia supaya tidak tenggelam dalam kehidupan yang tidak mengenal erti kematian,” katanya. 


Allah berfirman yang bermaksud, “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. 


Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Hud ayat 15-16)


Kematian daripada perspektif Islam ialah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.


“Ia tempat penantian untuk ke alam akhirat. Kematian juga perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat. 


“Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikan akan mendapat balasannya, begitu juga jika mereka melakukan sebesar zarah kejahatan, akan menerima balasannya,” katanya.


Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah ayat 7- 8).


Ibnu Qayyim berkata, “Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi.


Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”.




Mohd Shukri berkata, seorang mukmin yang beriman akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia menghadapi kematian.


“Islam mempunyai keistimewaan tersendiri berbeza dengan agama dan anutan lain.


Islam menceritakan setiap kematian dan alam selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama lain. 


“Setiap satu diperjelaskan dan hukum setiap alam yang bakal dilalui semua manusia. Seseorang Muslim akan jelas mengenai kehidupan akhirat jika matlamat hidupnya di dunia juga jelas.


“Kita sering memikirkan saat kesakitan menghadapi sakaratul maut, dosa dan pahala, kedahsyatan alam kubur, saat kebangkitan dan perhitungan amalan serta balasan syurga dan neraka.


“Ramai orang pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian.Bahkan, ada yang takut membicarakannya,” katanya.


Beliau berkata, akibat persepsi itu timbul ketakutan dan salah faham terhadap kematian. 


“Kesan itu membawa kepada kejahilan dan pandangan negatif mengenainya. Sebab itu, mereka bebas melaksanakan apa saja di muka bumi. 


“Kita juga mendapati ramai yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, ramai menghabiskan waktu, tenaga, pemikiran mereka untuk urusan dunia. 


“Apabila manusia tidak mengingati kematian, Allah mencabut ketakutan dari jiwa musuh Islam terhadap orang Islam,” katanya.


Ia disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w bermaksud “Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Apakah wahan itu Ya Rasulullah? Nabi bersabda: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian”. (Riwayat Muslim)


Menurutnya, anjuran mengingati mati bukannya untuk minta manusia cepat mati atau meninggalkan segala urusan dunia.


“Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita cepat mati kerana perbuatan itu sangat dilarang. Sebaliknya, apabila mengingati kematian mendorong mereka menetapkan wawasan jelas dalam hidup di dunia dan akhirat.


“Manusia yang banyak mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya setiap masa. 


“Maka, mereka memendekkan angan-angannya dan banyak melakukan kebajikan. 


Hakikat ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya)”. (Surah al-Jumu’ah ayat 8)


Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)


“Ingat mati juga menimbulkan rasa kasih sayang sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Bermula dari situ lahirlah perasaan tanggungjawab membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal menuntut keredaan Allah.


“Sedarilah, jika tidak segera bertaubat dikhuatiri kita mati dalam keadaan sia-sia. Sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat. 


“Usaha itu bagi memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan Islam. Kematian seseorang Muslim juga bergantung kepada amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan,” katanya. 


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Dan, sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.” (Riwayat al-Bukhari)




No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com