SETELAH Allah SWT menyebut pelbagai nikmat-Nya yang
dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya, antaranya Dia menghidupkan bumi yang
dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, kemudian Dia menyebut pula
nikmat-nikmat-Nya yang lain seperti; menciptakan jalan-jalan yang terdapat di
lautan atau di daratan sehingga manusia mampu menggunakan jalan tersebut untuk
mencari rezeki walaupun di negeri yang jauh.
Firman Allah SWT: Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf)
ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh
sarat. (Yasin: 41)
Ibnu Kathir berkata: "Perahu yang dipenuhi barang-barang
dan haiwan yang berpasang-pasangan diperintahkan oleh Allah SWT. Demikian yang
dikatakan oleh Sa'id bin Jubair, al-Sya'bi, Qatadah dan al-Suddi sedangkan
al-Dahak dan Ibnu Zaid berkata: Iaitu perahu Nuh as."
Al-Sabuni berkata: "Pada mukadimah ayat ini, ditanggung
dengan tiga makna iaitu pengajaran bagi mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah
penuh iktibar. Yang kedua nikmat ke atas mereka. Ini kerana pada ayat-ayat
penuh dengan pemberian nikmat dan ketiga peringatan bagi mereka. Ini kerana
pada ayat-ayat Allah penuh dengan peringatan."
Berkenaan dengan dua dhomir (ganti nama) berlainan
seperti yang dinukilkan oleh al-Mahdawi. Adapun pendapat yang lain, dua dhomir
kembali kepada penduduk Mekah.
Al-Maraghi berkata: "Antara tanda-tanda kekuasaan Allah
SWT ialah Dia menjadikan manusia mampu mengenderai kapal-kapal yang dimuatkan
dengan pelbagai jenis barang dagangan dalam bentuk bahan makanan dan lain-lain
yang mereka angkut dari satu daerah ke daerah yang lain."
Sekiranya Dia tidak melakukan demikian, tentu manusia tidak
akan mempunyai keturunan dan generasi untuk meneruskan kehidupannya.
Firman Allah SWT: Dan Kami ciptakan untuk mereka,
jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
(Yasin: 42)
Terdapat tiga pandangan ulama iaitu Al-Aufi berkata daripada
Ibnu Abbas ra yang dimaksudkan adalah unta. Ini kerana unta bahtera daratan
yang digunakan membawa sesuatu dan ditunggang.
Riwayat yang lain, unta dan segala binatang yang boleh
ditunggang. Ia bermaksud kapal atau perahu. Pendapat ini juga dinyatakan oleh
Abu Malik termasuk perahu yang kecil.
Al-Maraghi berkata: "Kami ciptakan pula kenderaan lain
yang dapat dikenderai di daratan seperti unta yang mampu menempuh perjalanan di
padang pasir. Ini berdasarkan seperti yang dikatakan oleh seorang penyair Unta
diibaratkan kapal-kapal di daratan. Padang pasirnya diibaratkan lautan."
Dalam ayat ini Allah SWT tidak menentukan apa sahaja yang
dikenderai oleh manusia, tetapi Dia menyebutkan ma yarkabun, kerana Dia
Maha Tahu pelbagai kenderaan yang akan dicipta oleh manusia. Justeru, dianggap
sebagai mukjizat selain al-Quran.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita
betapa Allah Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Boleh melakukan apa sahaja
mengikut kehendak-Nya.
Menariknya al-Quran membuka minda manusia supaya berfikir
berkenaan dengan kekuasaan Allah melalui pengamatan segala ciptaan-Nya. Ini
sudah tentu membawa keinsafan kepada semua manusia yang mengambil iktibar dan
pengajaran.
Begitu juga Allah SWT mengisahkan betapa perjalanan masa
mengikut ketentuan-Nya yang boleh melakukan apa sahaja.
Oleh itu, sewajarnya kita mengambil iktibar
daripada peristiwa yang berlaku dan juga hasil ciptaan Allah SWT yang boleh
mendekatkan kita kepada-Nya.
good sharing and nice entry... ^_^
ReplyDeletesemoga kita mendapat manfaatnya..rezeki allah sgt luas..:-)
Delete