KITA telah mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah
mengiktikadkan bahawa para nabi dan rasul adalah maksum semenjak mereka belum
dilantik menjadi nabi atau rasul lagi. Oleh yang demikian, kita tidak pernah
mendengar riwayat yang menyatakan mereka terlibat dalam kancah maksiat dan
penyembahan berhala dalam erti kata lain mensyirikkan Allah SWT.
Yang pastinya banyak riwayat menyatakan mereka bermunajat,
bertafakur, berzikir dan menunaikan amal ibadat serta menjauhkan diri daripada
amalan kaum mereka yang sesat.
Demikianlah kemurnian akidah dan akhlak para nabi dan rasul
semenjak Nabi Adam ehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup
segala nabi dan rasul.
Pertama: Jumhur ulama
menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak beribadat dengan mana-mana syariat
sebelumnya. Sekiranya
berlaku perkara sedemikian, sudah pasti dinaqalkan melalui dalil-dalil dan
tidak mampu untuk disembunyikan.
Begitu juga sekiranya ia berlaku, maka berbanggalah
pengikut-pengikut syariat tersebut dan mereka menjadikan sebagai hujah terhadap
baginda.
Oleh kerana perkara sedemikian tidak berlaku, maka kita dapat
mengetahui bahawa baginda tidak beribadat menurut syariat Nabi sebelumnya.
Kedua: Sekumpulan ulama
berpendapat perkara sedemikian tertegah daripada berlaku menurut pandangan
akal. Bagi mereka
hal ini akan menyebabkan Rasulullah tidak dikenali sebagai rasul yang diikuti,
sebaliknya baginda akan dikenali sebagai pengikut syariat nabi-nabi sebelumnya.
Ketiga: Segolongan
ulama lain mengambil jalan berdiam diri tanpa mengeluarkan pendapat dan
meninggalkan suatu penetapan yang pasti kerana di antara dua pendapat itu tidak
terdapat satu pun yang boleh diputuskan secara tetap. Pendapat ini, dipilih oleh Imam al
Haramain.
Keempat: Berkata
segolongan ulama lain pula, bahawa baginda beramal dengan syariat sebelumnya.
Kemudian mereka berselisih pendapat mengenai syariat nabi mana yang diikuti
oleh Rasulullah.
Maka sekumpulan daripada mereka mengambil jalan tidak menetapkan secara
terperinci mengenai tatacara peribadatan nabi siapa yang diikuti oleh baginda.
Kelima: Terdapat juga
golongan yang menetapkan secara terperinci tatacara peribadatan baginda dan
kemudian berselisih pendapat dalam menentukan syariat manakah yang diikuti oleh
baginda. Dikatakan,
bahawa baginda mengikut syariat Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as,
Nabi Isa as dan ada juga dikatakan ikut syariat Nabi Adam as. Ini merupakan
sejumlah daripada pendapat mazhab-mazhab mengenai permasalahan ini.
Pendapat yang terpilih adalah pendapat pertama yang dipegang
oleh jumhur ulama; yang menegaskan bahawa baginda tidak mengikut mana-mana
syariat sebelumnya.
Pendapat yang paling jauh daripada kebenaran ialah mazhab
yang menentukan tatacara peribadatan baginda secara terperinci kerana sekiranya
benar terjadi sedemikian, nescaya ia telah diriwayatkan dalam khabar yang
sahih.
kemantapan ilmu
Setengah golongan yang tidak mempunyai kemantapan ilmu dan
tidak meneliti hakikat sebenar Kitab dan sunnah mendakwa: Sesungguhnya
Rasulullah SAW beramal dengan syariat Nabi Ibrahim dan baginda tidak memiliki
syariatnya yang tersendiri. Tujuan perutusan baginda hanyalah untuk
menghidupkan syariat Nabi Ibrahim. (rujuk al-Nahl: 123)
Maka dakwaan mereka adalah salah, malah lebih kepada menyamai
perkara khurafat. Rentetan itu, ulama menyatakan pendapat seumpama ini tidak
dinyatakan melainkan oleh orang yang senteng akal dan bertabiat bebal.
Maksud sebenar ayat ini ialah baginda mengikut Nabi Ibrahim
pada tauhid yang khusus dengan kedudukannya sebagai seorang khalil (teman)
Allah. (rujuk al Baqarah: 135)
Baginda juga diperintahkan mengikut Nabi Ibrahim pada
penyerahannya yang mutlak kepada Allah tatkala Nabi Ibrahim, di mana ketika
baginda hendak dihumban ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud, maka datang
Jibril lalu berkata kepadanya: "Adakah engkau memerlukan apa-apa
pertolongan daripada saya?"
Jawab Nabi Ibrahim:, "Ada pun berhajat kepada engkau,
tidak sama sekali."
Maka dengan itu, Nabi Ibrahim telah sampai kepada kemuncak
penyerahan diri yang tidak dapat dicapai mana-mana kalangan manusia sebelum dan
selepasnya kecuali nabi Muhammad SAW yang telah sampai ke suatu kedudukan yang
amat tinggi dan tidak diketahui ketinggiannya melainkan Pencipta-Nya, Tuhan
Yang Menjadikannya, yang mengurniakan nikmat ke atasnya dengan nikmat yang
tidak dikurniakan kepada selain baginda.
Oleh yang demikian, ketika manusia datang menemuinya di
Padang Mahsyar untuk mendapatkan syafaat teragung bagi memulakan perbicaraan,
sambil berkata kepadanya: "Sesungguhnya Allah telah memilih engkau sebagai
khalil (teman)."
Jawab Ibrahim: "Sesungguhnya saya hanyalah seorang khalil
yang berada di belakang kedudukan al Habib (iaitu Nabi Muhammad
SAW).
Nabi Ibrahim memaklumkan kepada mereka walaupun baginda
adalah Khalil Allah, tetapi tergolong di kalangan yang memiliki martabat
yang agak terkebelakang daripada Nabi Muhammad SAW.
No comments:
Post a Comment