DALAM kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil
kerja dikenali sebagai rezeki. Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki
yang halal bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah rezeki yang
halal daripada hasil usaha tangannya sendiri.
Pada masa kini punca rezeki adalah berbagai-bagai. Pun begitu, punca
rezeki daripada perniagaan lebih menampakkan hasilnya. Walau bagaimanapun
keberkatan dalam mencari rezeki sewajarnya diberikan perhatian. Rezeki yang
halal lagi berkat akan membawa manfaat sehingga ke akhirat.
Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan
sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian
seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh Allah
SWT, sama ada sedikit ataupun banyak. Rahmat Allah amat luas, bersyukurlah
dengan nikmat Allah dan carilah rezeki yang halal, jangan makan rezeki yang
haram.
Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib
sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)."
Jelaslah, rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu,
rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima oleh Allah SWT.
Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah
SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki
kerana maksiat yang ia lakukan." (riwayat Ibn Majah dan Ahmad, Ibn Hibbah
dan Ibn al- Mubarak).
Oleh itu, ketakwaan kepada Allah akan mendatangkan rezeki, sebaliknya
maksiat akan mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk
mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat.
Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata, 'Rezeki secupak tidak akan
jadi segantang' bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan.
'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis.
'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas).
'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan.
"Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit),
maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh
Allah, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.
Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata dan
budaya orang Melayu, dengan pandangan penuh bijaksana untuk direnungi oleh
generasi akan datang sebagai panduan dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat
Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap
dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan
memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah
kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi
Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar
dan Al-Hakim).
Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda:
"Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluanmu.
Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (riwayat
Ath-Thabrani dan Al-Bazzaar).
Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda: "Ya Allah, berkatilah
umatku pada waktu pagi hari mereka (waktu fajar).
Ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW dalam sabdanya: "Selesai solat
fajar (Subuh) janganlah kamu tidur sehingga melalaikan kamu untuk mencari
rezeki." (riwayat Ath-Thabrani).
No comments:
Post a Comment